DIPILIH sebagai penerima trofi Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 menjadi bukti nama Erysha Emyra semakin mula diterima dalam kalangan peminat.
Bersyukur dengan kemenangan itu, pemilik nama Nur Erysha Emyra Zakaria bagaimanapun tidak melihat kemenangan tersebut sebagai salah satu cara untuk meletakkan ‘terma’ baharu bagi mendapatkan khidmatnya.
“Walaupun menang, tetapi saya tidak kata tahun ini sebagai tahun saya. Walau apa pun, kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk lebih bekerja keras pada masa akan datang.
“Biarpun dapat anugerah, tetapi saya rasa masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Saya tidak boleh terlalu selesa kerana ramai juga pelakon baharu yang berbakat serta berpotensi.
“Kemenangan ini tidak mengubah apa-apa kerana fokus saya untuk bekerja keras selagi masih ada permintaan,” katanya.
Fokus membina nama dalam industri, Erysha bersyukur tidak henti dilimpahi tawaran kerja. Meskipun perlu terikat dengan beberapa projek dalam satu sama, namun dia mengambil pendekatan untuk menghabiskan masa beberapa bulan bekerja sebelum bercuti.
“Alhamdulillah jadual kerja sekarang agak padat, tetapi saya selesa dengan cara kerja begini sebab saya akan boleh fokus dalam satu masa. Memang agak penat kerana perlu melakonkan banyak watak dalam satu masa.
“Walaupun terikat dengan banyak kerja dalam satu masa, tetapi saya tidak mengabaikan kesihatan dan tidak melihat kerja itu satu bebanan. Kalau boleh biarlah sekitar tiga hingga empat bulan kerja keras, kemudian sebulan cuti.
“Itu lebih kelihatan seimbang kerana biarpun buat banyak kerja dalam satu masa, tetapi saya tetap ada masa untuk diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan. Jadi semuanya masih baik-baik saja kerana saya tidak fokus kepada kerja sehingga mengabaikan perkara lain,” tuturnya lembut.
‘Caj tenaga’
Mengakui fokus dalam melakukan kerja, pelakon berusia 25 tahun itu tetap menitikberatkan dalam soal penjagaan kesihatan. Tentu sahaja hal itu penting untuk diberi tumpuan kerana bimbang akan memberi kesan kepada orang lain.
Tidak mempunyai teknik tertentu, Erysha mengamalkan sikap berfikiran positif bagi membantu untuk mengembalikan semula tenaga untuk ke set penggambaran pada hari berikutnya.
“Cara saya pulihkan tenaga itu hanya dengan cara berfikiran positif. Setiap hari saya akan mendidik minda untuk kembali bertenaga dan bersemangat untuk bekerja semula.
“Mungkin kedengaran agresif, tetapi saya akan paksa diri untuk berfikir positif dan berehat untuk masuk ke set seterusnya. Setiap hari itulah yang saya akan lakukan.
“Syukur walaupun sibuk dengan tiga penggambaran dalam satu masa, tetapi jadual kerja itu teratur dan tetap ada ruang masa untuk saya berehat,” jelasnya.
Sanggup melakukan banyak kerja dalam satu masa bukan bermaksud Erysha mementingkan diri atau mengejar populariti apatah lagi ‘tapau’ semua tawaran kerja dalam satu masa.
“Bukan ingin ambil semua tawaran, tetapi saya ingin bekerja keras dahulu kemudian baru boleh rehat. Kalau boleh saya ingin belajar untuk membawakan bermacam watak.
“Sekali masih muda dan ada tenaga, inilah masa terbaik untuk saya terlibat dengan pelbagai projek. Nanti apabila masanya akan tiba, insya-Allah saya akan memperlahankan kerja. Tapi sekarang ini fokus utama saya,” jelasnya dan melepaskan ketawa kecil.
Sisi komedi
Bercakap tentang kerjaya, Erysha kini muncul siri komedi baharu bertajuk Ofis Politik yang bersiaran setiap Rabu dan Khamis menerusi saluran Astro Ria.
Membawakan watak sebagai Kursyia, Erysha mengakui lebih santai terlibat dalam naskhah komedi yang lebih relaks. Malah, tuan badan sendiri mengakui sangat meminati dengan karya komedi bawah arahan Wan Hasliza dan Wan Alauddin itu.
Tanpa perlu berhempas pulas melakonkan watak air mata apatah lagi menjadi wanita teraniaya, Erysha menghidupkan watak Kursyia dengan lebih tenang dan ‘masuk air’.
“Ini merupakan karya pertama saya melakonkan watak komedi. Memang agak mudah tetapi sukar kerana memerlukan tenaga yang tinggi sebab saya perlu menjadi seorang aktif periang, ceria dan gila-gila.
“Semasa penggambaran, saya juga ada komitmen dengan drama Kelas Tahanan Cikgu Hiragi dan telefilem Lion Girl. Memang agak berat juga kerana perlu melakonkan watak berbeza, tetapi anggap ini sebagai cabaran sebab saya perlu kelihatan bertenaga ketika berada di set,” jelasnya.
Biarpun pertama kali melibatkan diri dalam karya komedi, Erysha mengharapkan Ofis Politik dapat menjadi batu loncatan untuk mengembangkan bakat dalam bidang genre lakonan berbeza.
“Ada orang yang terkejut melihat saya bawa watak komedi. Ramai tidak sangka adakah saya boleh melakonkan watak gila-gila kerana ramai ingat personaliti yang lembah lembut dan sopan.
“Mungkin ini akan jadi permulaan khalayak melihat sisi berbeza saya sekali gus mengembangkan bakat lakonan agar lebih versatil,” tutupnya. – HIBGLAM