Saya menangis, rasa tak dihargai – Noraniza Idris

TERUK dikecam gara-gara menyanyi secara ‘miming’ ketika konsert pada Oktober lalu, penyanyi Noraniza Idris mengakui menangis membaca komen pedas yang dilemparkan kepadanya.

Bagaimanapun, Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, 56, memaklumkan Konsert Qalam Noraniza Idris di Panggung Bangsawan merupakan gabungan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Saya baca semua komen netizen walaupun mengguris hati. Kadang kala saya menangis dan sedih kerana rasa tidak dihargai.

“Mereka kata konsert saya tak gempak macam artis lain tetapi saya sudah maklumkan sebelum ini bahawa konsert tersebut adalah CSR,” katanya kepada HibGlam semasa pengumuman Konsert Countdown MeleTOP 2025, baru-baru ini.

Enggan terus kecewa, pelantun lagu Empat Dara itu mengambil kecaman sebagai perkara positif memandangkan tidak semua orang mampu menjayakan konsert yang memerlukannya memikul tiga tanggungjawab besar selaku pengarah projek, penyanyi utama dan promosi produk makanan bagi acara mega itu.

“Apabila fikir semula, saya ambil dari sudut positif dan berpendapat mereka hanya prihatin terhadap diri saya.

Tidak mengapalah mereka nak kecam, asalkan mereka tahu apa yang saya lakukan. Kalau orang mula tak ambil kisah itu yang bahaya.

“Jadi, perkara biasa ada orang suka atau tidak. Bukan semua orang boleh buat macam saya,” ujarnya lagi.

Tidak patah semangat, Kak Ani menganggap konsert tersebut sebagai pencapaian besar dalam hidupnya sepanjang 39 tahun bergelar anak seni.

“Saya anggap sebagai satu kejayaan kerana selama 39 tahun saya berkarya ini pertama kali saya adakan konsert.

Ada juga tercatat dalam sejarah industri kalau esok saya belasungkawa, ada juga satu konsert saya yang orang sebut,” jelasnya.

Sebelum ini, ramai yang menghentam Kak Ani kerana dikatakan hanya menggerakkan bibir atau ‘miming’ dalam satu segmen semasa Konsert Qalam Noraniza Idris yang berlangsung selama tiga hari.

Kak Ani turut mengaku menyanyikan terpaksa berbuat demikian akibat berlaku masalah teknikal semasa kejadian. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok