SETIAP daripada kita diberi peluang untuk memilih dan membuat keputusan dalam menentukan hala tuju hidup masing-masing. Semuanya diberi hak secara adil untuk menentukan segalanya dalam tempoh 24 jam sehari, 365 hari setahun.
Namun, bagaimana sekiranya kita diberi peluang untuk mengembalikan semula masa yang sudah berlalu. Menjalani kehidupan sama berulang kali sehingga segalanya dirasakan sempurna dan bersesuaian dengan apa dihajati.
Bagi dunia nyata, menukar semalam untuk menjadi hari ini satu hal yang mustahil. Namun, tidak bagi Akid dalam filem Reversi yang memiliki kelebihan menjadi pengembara masa. Baginya, masa umpama pensel dan pemadam. Boleh ditulis dan dipadam semula sesuai dengan keinginan.
Tetapi, adat hidup kita tidak dapat lari daripada takdir biarpun beribu kali masa diputar semula. Setiap gerak emosi sama ada gembira, sedih mahupun marah tetap akan ada dalam kehidupan seharian.
Hidup itu ibarat menaiki roller coaster yang laluannya terbahagi kepada beberapa bahagian. Ada mendatar, memusing, curam dan mendaki. Setiap satu daripadanya tersimpan cerita tersendiri yang membuatkan kisah hidup seseorang itu menjadi luar biasa.
Bagaimanapun, Akid lakonan Beto Kusyairy tetap berusaha untuk kembali ke masa lampau berulang kali demi menyelamatkan nyawa isterinya, Sarah (Shiqin Kamal) dan anaknya.
Perasaan sedih, kesal dan marah membuatkan Akid enggan berdamai dengan takdir. Dia nekad menggunakan kelebihan yang ada untuk mengembalikan semula insan dicintai dalam hidupnya.
Memang sukar tetapi itulah naratif Reversi yang bijak bermain dengan emosi penonton. Kisah dibuka dengan suara monolog Akid yang bercerita tentang bencinya terhadap hujan dan dianggap pembawa sial.
Bukan sahaja Beto, malah setiap pelakon melunaskan tanggungjawab dengan bijak. Hanya dengan mimik muka dan renungan mata sudah cukup untuk menggambarkan gelora emosi kepada penonton.
Barisan pelakon bertaraf papan atas seperti Hasnul Rahmat, Vanidah Imran dan Azhan Rani menjadikan naskhah arahan Adrian Teh itu kemas dan sarat emosi.
Gerak naratif dalam perbezaan masa juga rapi serta tidak mengelirukan.
Tema sains fiksyen yang diadun dengan drama kekeluargaan mewujudkan sudut pandang baharu kepada industri filem tempatan.
Secara keseluruhan, plot penceritaan filem ini kemas dan teratur. Kesan khas dan teknik jana komputer (CGI) juga wajar dipuji.
Biarpun ada beberapa bahagian boleh ditambah baik, ia bukan satu masalah kerana kekurangan itu berjaya ditutup dengan kehebatan lakonan barisan pelakon.
Secara keseluruhan, Reversi sebuah karya wajib tonton sebelum 2024 melabuhkan tirai. – HIBGLAM