AWAL minggu ini, industri hiburan Malaysia dikejutkan dengan berita selebriti lelaki ditahan pihak berkuasa bersama dedaun kering disyaki ganja.
Skandal dadah boleh merosakkan kehidupan seseorang, malah lebih teruk bagi penggiat seni kerana karier mereka akan terjejas teruk sehingga boleh hilang pendapatan.
Selebriti Korea Selatan turut berdepan nasib sama jika didakwa terjebak dadah.
Daebak kali ini menyenaraikan beberapa artis yang terlibat dalam kancah dadah dan sudah menerima hukuman sewajarnya.
G-Dragon
TERKENAL sebagai Raja K-pop, ahli kumpulan Big Bang iaitu G-Dragon telah didakwa atas penyalahgunaan dadah pada 2011.
Rupa-rupanya, dia terlibat secara tidak sengaja apabila menghisap rokok milik seseorang yang tidak dikenali dalam sebuah pesta di Jepun.
Selepas sedar rokok tersebut berasa pelik, dia terus bertindak membuangnya tetapi tidak terlepas daripada dihukum.
Pihak berkuasa Jepun bagaimanapun menangguhkan hukuman kerana jumlah bahan terlarang yang ditemui dalam badan G-Dragon terlalu kecil selain itu merupakan kesalahan pertamanya.
T.O.P
SELEPAS G-Dragon, rakannya yang juga ahli kumpulan Big Bang iaitu T.O.P turut terpalit tuduhan mengambil dadah.
Namun, impaknya lebih besar kerana dia dikatakan sebagai pengguna tegar apabila mengambil sekurang-sekurang empat kali bahan tersebut pada 2016.
Ketika dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan, dia sedang menjalani perkhidmatan ketenteraan sebagai pekerja perkhidmatan awam dan terpaksa menamatkan latihan.
Jung Il-hoon
PENYANYI rap kumpulan BtoB iaitu Jung Il-hoon didakwa menggunakan ganja pada Julai 2020.
Menurut laporan media Korea, Mahkamah Daerah Pusat Seoul Il-hoon bersama tujuh individu lain membeli ganja selama hampir tiga tahun.
Dia dijatuhkan hukuman dua tahun penjara, 40 jam kursus rawatan dan denda 120 juta won (RM371,000).
Psy
PADA November 2021, penyanyi Psy ditangkap kerana pengambilan ganja secara haram.
Menurut laporan media, tekanan yang dirasakan untuk menghasilkan lagu punca pemilik nama lengkap Park Jae-sang mengambil dadah.
Pelantun lagu popular Gangnam Style itu mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak AS$5,000 (kira-kira RM22,249).
Ju Ji-hoon
PADA 2009, pelakon Ju Ji-hoon mengaku terlibat ganja apabila mengambil dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan ketamin.
Dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan perlu membayar denda yang tidak dimaklumkan jumlahnya.
Dia juga dilarang muncul dalam tiga syarikat penyiaran utama Korea iaitu MBC, KBS dan EBS.
Pengharaman dalam MBC ditarik balik pada 2013 dan dua siaran lagi menarik balik larangan tersebut pada 2019. – HIBGLAM