Kecewa, Diana Danielle mahu tuntut nafkah tertunggak

SUSULAN keengganan pelakon Farid Kamil melafazkan talak dan melambat-lambatkan tuntutan perceraian, Diana Danielle bertindak membuat satu lagi tuntutan iaitu nafkah.

Menurut Diana, tuntutan nafkah yang tertunggak sejak beberapa tahun lalu tersebut bagaimanapun akan digugurkan jika Farid bersetuju melepaskan dirinya.

Kalau dia lepaskan saya, saya akan gugurkan kes tuntutan nafkah. Tindakan seterusnya adalah saya memutuskan untuk memfailkan tuntutan nafkah kerana apabila dia memanjang dan memberatkan isu, saya rasa peluang yang saya beri ini sia-sia.

“Tuntutan nafkah itu adalah yang tertunggak sejak beberapa tahun lalu,” katanya kepada HibGlam, hari ini.

Diana bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai tuntutan nafkah termasuk jumlah yang akan difailkannya terhadap Farid.

Bagi saya, tak perlu saya nak beritahu secara terperinci, cuma kekecewaan saya ini, saya akan luahkan dengan cara sepatutnya.

“Apa pun yang terlalu peribadi, biarlah kekal menjadi hal peribadi,” katanya lagi.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur memerintah Diana dan Farid melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas aktor itu enggan menceraikan isterinya.

Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin mengeluarkan perintah itu selepas Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43, bertegas tidak mahu melafazkan cerai terhadap Diana pada sebutan kali kedua kes cerai mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac 2025 untuk sebutan semula dan laporan JKP kedua-dua belah pihak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok