PENGARAH dan penerbit, Mawi berhabis RM200,000 untuk pemberian bonus kepada pelakon dan kru selepas filem Zim Zim Ala Kazim mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM3.5 juta.
Menurut Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 43, dia telah berjanji untuk memberikan bonus sekiranya mendapat keuntungan.
“Pada asalnya filem Zim Zim Ala Kazim adalah untuk siaran di Astro First sebelum saya memutuskan untuk tayang dipawagam terlebih dahulu.
“Bajet filem dan bayaran pelakon serta kru mengikut harga televisyen bukannya filem. Jadi, apabila filem ini ditayangkan di pawagam saya rasa bersalah kerana harga filem berbeza.
“Saya buat perjanjian dengan mereka semua andai filem ini untung saya akan beri bonus dan saya lega telah dapat tunaikan janji,” ujar Mawi yang ditemui pada majlis pemberian bonus semalam.
Berdasarkan permintaan ramai, Mawi tidak menolak untuk menerbitkan kesinambungan kisah daripada filem Zim Zim Ala Kazim.
“Dalam filem Zim Zim Ala Kazim hanya ada tiga sihir yang diceritakan oleh Ustaz Kazim, sebenarnya ada empat lagi sihir yang dialami dan tidak pernah diceritakan kepada orang ramai.
“Cuma filem kedua kami mahu menjadikan sebagai filem seram yang serius kerana ramai yang mahu tahu lebih lanjut kisah-kisah Ustaz Kazim.
“Jika tidak, saya memang ada perancangan untuk terbitkan filem seram lain dan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kehidupan sendiri. Kejayaan filem ini memberi saya semangat untuk terus berkarya” tutur Mawi.
Selepas ditayangkan di pawagam dan Astro First, filem yang diinspirasi dari kisah benar Datuk Ustaz Kazim Elias bakal disiarkan di platform penstriman popular, Netflix.
Filem Zim Zim Ala Kazim dibintangi oleh Ustaz Kazim, Bell Ngasri, Anas Tahir, Elvina Chua, Zarina Anjoulie, Rosnah Johari, Iqram Dinzly dan Mawi sendiri- HIBGLAM