FestStar FoodFest 2024, pesta makan sambil berhibur

FESSTAR FOODFEST, anjuran FestStar Influencer Entertainment, bakal menjadi acara penutup tahun yang penuh warna-warni dengan tema ‘Menikmati Rasa, Merayakan Gaya Hidup’.

Festival tersebut tidak hanya menampilkan pelbagai gerai makanan dari peniaga tempatan dan antarabangsa, tetapi juga menyajikan persembahan memukau daripada artis terkenal, demonstrasi masakan oleh chef selebriti, serta aktiviti interaktif bersama pempengaruh media sosial popular.

Barisan penyanyi yang akan memeriahkan acara termasuk Noraniza Idris, Talia Mentor, Damia, XPDC Kita Peng Yu, Kembara Live, dan Kristal, yang pastinya akan menghiburkan pengunjung sepanjang festival berlangsung.

Suasana turut dimeriahkan pempengaruh terkenal seperti Emy Cha Cha, Puterabell, Han Budak Cina, Puan Tina, Adila, Gemor Jalan, Mirul Maneh, Kak Reptor, dan Paah Rabbit yang akan berinteraksi secara langsung dengan peminat mereka.

Menurut Pengarah Urusan FestStar Influencer Entertainment, Herrie Shaputra Azizan, atau lebih dikenali sebagai Puterabell, acara tersebut bertujuan untuk mempromosikan keunikan makanan tempatan sambil memberi peluang kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang.

UJarnya, festival kali ini membawa pendekatan yang lebih segar dan kreatif, selari dengan objektif utama iaitu mencipta pengalaman yang menghiburkan, memberi impak positif kepada komuniti, dan menyokong perkembangan budaya kulinari serta ekonomi tempatan.

Apa yang menjadikan festival terbabit unik adalah pelbagai aktiviti menarik yang dijanjikan kepada pengunjung.

Antaranya termasuk paintball, Soopa Doopa, neon light, electronic beam, dan fun run, di samping program istimewa seperti Ketuk-Ketuk, mini zoo, Night of Fright, dan Pesta Kopi.

Turut disediakan adalah pameran kerjaya dan konsert eksklusif yang direka untuk memastikan pengalaman pengunjung lebih menyeronokkan dan bermakna.

Festival yang akan berlangsung dari 25 hingga 31 Disember 2024 ini bertempat di TF Mart, Taiping, Perak dan dibuka kepada pengunjung dari jam 11 pagi hingga 12 malam setiap hari.

Dengan pengalaman luas dalam penganjuran acara, Herrie yakin bahawa FestStar FoodFest kali ini akan meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan, menggabungkan elemen hiburan, kulinari, dan aktiviti interaktif yang memenuhi selera semua golongan masyarakat. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok