Yeo Jin-goo ‘legenda’ dalam ciptaan

NAMA aktor sensasi Korea Selatan, Yeo Jin-goo bak simfoni yang tidak berhenti bergema di hati peminat K-drama, termasuk di Malaysia.

Pesonanya meledak sebagai simbol kegemilangan bakat melangkaui batas usia.

Bermula sebagai pelakon kanak-kanak, lelaki berusia 27 tahun itu memahat nama dalam sejarah K-drama dengan lakonan sepenuh jiwa menerusi naskhah popular seperti Hwayi: A Monster Boy, Hotel Del Luna dan Beyond Evil.

Dia membuktikan kebolehan menjiwai pelbagai watak hingga meraih pengiktirafan di peringkat global.

Keupayaan menghidupkan watak dengan emosi mendalam menjadikan Jin-goo satu inspirasi peminat, sementara personaliti yang santun dan mesra mendekatkan hubungannya dengan peminat seantero dunia.

PERTAMA kali menjejakkan kaki di bumi Malaysia, Jin-goo terharu dengan sambutan meriah pemuja bakatnya selain teruja untuk mencuba variasi makanan tempatan negara ini.

Baru-baru ini, ‘oppa’ putih gebu itu melangkah ke Malaysia buat kali pertama, memenuhi impian yang lama tersemat di hati.

Kehadirannya sempena ONE Astro Fan Fest bukan sahaja menjadi peluang istimewa buat peminat tempatan bertemu idola mereka, bahkan membuka lembaran baharu dalam hubungan erat antara bintang tersohor itu dan penyokongnya di negara ini.

Sambutan hangat yang diterima nyata membuktikan bahawa aura jejaka terbabit tidak pernah gagal menawan hati pencintanya.

Makanan tempatan

Di sebalik sorotan glamor, terserlah keikhlasan Jing-goo menghargai peminat setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan.

“Malaysia antara destinasi paling saya impikan untuk datang dan kehangatan sambutan peminat di sini benar-benar menyentuh hati,” katanya.

MESKIPUN cemerlang menjayakan pelbagai genre naskhah, Jin-goo lebih gemar membintangi drama serius serta komedi romantik yang sarat mesej keluarga.

Jin-goo juga tidak dapat menyembunyikan keterujaan mencuba makanan tempatan yang sudah lama menjadi buah mulut penggemar tegarnya.

“Apabila datang Malaysia, nasi lemak adalah hidangan yang mesti saya cuba. Ramai peminat beritahu saya tentang itu, jadi saya sangat teruja untuk mencubanya.

“Saya juga sudah melayari internet bagi mencari cadangan makanan serta lokasi menarik di sekitar Malaysia. Mungkin anda boleh cadangkan sesuatu yang menarik untuk saya cuba?,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya mengenai tahap toleransinya terhadap makanan pedas, pelakon yang terkenal dengan filem Hijack 1971 itu dengan penuh keyakinan mengangguk pantas.

Saranan penulis agar dia mencuba roti tisu ternyata mencuri perhatiannya yang kelihatan begitu tertarik dengan menu ‘wajib restoran mamak tersebut.

Malah dia mengingatkan pasukannya untuk menambah roti tisu dalam senarai menu yang perlu dicuba sepanjang berada di Malaysia.

“Saya orang Korea, sudah pasti saya makan pedas. Berikan cadangan makanan pedas apa yang patut saya cuba.

“Mengenai roti tisu, saya tertanya-tanya bagaimana bentuk dan rasanya, saya akan pastikan pasukan bawa saya cuba makan itu,” ujarnya teruja.

Mahu berlakon di Malaysia

Meneruskan temu bual menjurus terhadap konteks karier, anak sulung daripada dua bersaudara itu tidak menolak peluang untuk kembali ke Malaysia sekiranya diberi peluang berlakon atau bekerjasama dalam projek lain di sini.

TIDAK pernah mempersembahkan kelainan karakter lakonan, Jin-goo mengakui transisi watak adalah sesuatu yang amat sukar namun paling seronok buat dirinya sebagai pelakon.

Dia bahkan menyifatkan peluang itu sebagai pengalaman dan impian yang bakal menceriakan harinya.

“Saya sangat suka Malaysia. Jika ada tawaran filem atau projek, saya pasti akan kembali.

“Malaysia sememangnya lokasi impian saya untuk penggambaran. Kuala Lumpur adalah bandar yang sangat menarik, penuh dengan suasana moden dan cool.

“Malaysia adalah destinasi yang sempurna untuk penggambaran kerana gabungan unik antara keindahan bandar moden dan suasana semula jadi yang menawan,” jelasnya tersenyum.

Berkongsi cabaran sebagai pelakon, Jin-goo mengakui setiap peranan diambil semua berbeza daripada keperibadian aslinya yang memerlukan usaha keras untuk memastikan watak tersebut kelihatan autentik.

“Saya sentiasa berusaha menjadikan setiap watak kelihatan hidup dan benar. Saya tidak mahu berlakon dalam satu acuan sahaja dan transisi dalam setiap karakter itu sangat susah.

“Macam saya, perlu ada teknik dan ambil masa sedikit untuk benar-benar masuk ke dalam watak dan lakonkan sebaik mungkin.

“Cabaran ini sukar tetapi amat menyeronokkan,” kongsinya.

Sayangkan peminat, graduan Universiti Chung-Ang dalam bidang teater itu mengakui lebih selesa bertemu peminat secara bersemuka berbanding berinteraksi dalam media sosial.

“Saya lebih suka berhubung secara peribadi dan bersemuka dengan peminat macam hadir ke majlis atau ‘meet and great’.

Ada sesuatu yang istimewa apabila dapat melihat wajah mereka dan berkongsi detik-detik indah itu.

“Tapi jangan salah faham, saya tetap suka membaca mesej dan permintaan daripada peminat di seluruh dunia walaupun dalam media sosial.

“Itu semua sangat menyentuh hati melihat bagaimana karya saya memberi kesan kepada mereka sekali gus memberi semangat untuk saya terus maju,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok