DEMI memastikan legasi bapa terus dikenang, anak Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab iaitu Nassier Khan mendedahkan beberapa perancangan besar sedang dirangka, termasuk penerbitan buku nota muzik khas dan penubuhan galeri atau muzium.
Menurut Nassier, 62, buku tersebut bakal menghimpunkan koleksi 2,000 lagu ciptaan arwah yang telah mencorakkan landskap muzik tanah air selama lebih enam dekad.
Kami merancang untuk menerbitkan sebuah buku nota muzik yang akan menjadi rujukan penting kepada generasi akan datang.
“Buku ini akan menghimpunkan karya-karya ciptaan arwah yang penuh dengan nilai seni dan sejarah,” katanya kepada HibGlam.
Selain buku, Nassier turut bercadang menubuhkan sebuah galeri atau muzium yang memperincikan pencapaian dan perjalanan karier bapanya sebagai maestro muzik negara.
Menariknya, perbincangan juga sedang dijalankan bersama Persatuan Seni di Pulau Pinang untuk mewujudkan sebuah muzium atau galeri yang mungkin akan diberi nama Allahyarham sendiri.
Muzium atau galeri itu nanti mungkin akan dibangunkan di rumah lama datuk dan nenek kami di Pulau Pinang.
“Semuanya masih dalam perbincangan tetapi idea ini sangat menarik kerana lokasi tersebut mempunyai nilai sentimental buat keluarga kami,” ujarnya.
Selain itu, dia turut menyifatkan Allahyarham bukan sekadar komposer prolifik tetapi juga guru yang berjaya melahirkan ramai bintang ternama dengan disiplin tinggi.
“Ramai nama besar yang berjaya dalam industri muzik hari ini adalah hasil bimbingan arwah.
Beliau bukan sahaja seorang komposer tetapi juga seorang pendidik yang sangat teliti dalam aspek disiplin dan etika kerja,” tambahnya.
Nassier turut memberi jaminan bahawa aset seni Allahyarham termasuk koleksi lagu, dokumen dan memorabilia akan dijaga sebaik mungkin demi memastikan warisan itu tidak hilang ditelan masa.
Insya-Allah, kami akan menjaga semua aset seni arwah supaya kekal relevan dan terus dihargai,” ujarnya.
Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab yang meninggal dunia semalam dikenang sebagai seniman tersohor dengan ribuan lagu yang menjadi lambang kegemilangan industri muzik Malaysia.
Perancangan seperti ini bukan sahaja memartabatkan nama beliau tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai seni dan budaya. – HIBGLAM