SEBELUM ini ada beberapa pasangan selebriti saling membuka aib selepas bercerai.
Memang naik menyampah jugalah Diva melihat perangai masing-masing yang sanggup memalukan individu yang pernah tidur sebantal.
Sepatutnya perkara itu tidak perlu berlaku pun. Itulah yang yang dipraktikkan Emma Maembong dan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar selepas bercerai beberapa bulan lalu sehingga hari ini.
Tiada drama! Emma juga dilihat sangat matang menjawab pertanyaan media ketika ditemu bual baru-baru ini. Memang tak terlondeh langsung aib atau privasinya.
Dia memilih untuk terus mengunci mulut tentang semua hal berkaitan perceraiannya. Malah tidak ada satu pun perkataan buruk mengenai bekas suami muncul daripada mulutnya.
Memang betul-betul berdamai dengan takdir ya Emma. Disebabkan itu, ramai memuji dia sangat matang malah perlu dijadikan contoh buat pasangan yang bercerai.
Diva pun setuju dengan pujian tersebut sebab bukan semua selebriti dapat menahan diri daripada berkongsi hal privasi sekiranya diasak bertubi-tubi pihak media tetapi Emma sangat tenang!
Harap sangat tiada lagi artis yang akan bercerai dalam tempoh terdekat. Tutuplah dua bulan terakhir tahun ini dengan perkara yang baik-baik.
DIVA: Ramai kecam Farid Kamil memakai songkok berlilit reben putih ketika hadir ke mahkamah baru-baru ini. Fesyen berkabung agaknya.