LIMA tahun berehat akhirnya pelakon Izara Aishah kembali aktif berlakon apabila membintangi naskhah yang dijadualkan ditayangkan pada Ramadan tahun hadapan.
Izara atau nama lengkapnya Izara Aishah Hisham, 32, mengakui gugup untuk beraksi kerana sudah lama tidak berada di hadapan kamera.
“Saya akan jalani penggambaran bulan ini dan drama tersebut akan ditayangkan pada bulan Ramadan tahun hadapan.
Jangan terkeluar balik makanan waktu berbuka lihat saya berlakon semula.
“Risaulah nak berlakon, rasa macam tak pandai. Dulu berlakon macam batu,” katanya dalam siaran langsung TikTok baru-baru ini.
Selain itu, pelakon drama Kau Yang Satu itu turut bergandingan dengan Fattah Amin yang memegang watak sebagai abang iparnya.
“Dalam drama ini, Amir Ahnaf akan menjadi hero. Saya dan Fattah Amin sebagai hero dan heroin kedua.
Fattah Amin merupakan adik-beradik dengan Puteri Balqis dan Fattah bukan suami saya dalam drama tersebut.
“Dia sebagai abang ipar saya sahaja,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, ibu kepada dua cahaya mata itu memutuskan untuk berehat seketika dari industri hiburan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
Izara mendirikan rumah tangga dengan Adib Khalid pada November 2017 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua zuriat iaitu Irisa Alaia, 4 dan Amara Amina yang kini berusia satu tahun. – HIBGLAM