‘Tak payah ikut ‘old money style’, orang dah kenal aku’

KEKAL ‘gentleman style’, pempengaruh Wak Doyok selesa dengan identiti tersendiri sekali gus tidak terpengaruh gaya masyarakat elit pertengahan abad ke-20, ‘old money’ yang kini tular di Malaysia.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 44, memaklumkan tiada keperluan menyertai mana-mana kelab kerana orang ramai sudah mengenali dirinya.

Kita tak payah cakap gaya orang dah tahu. Tak payahlah (buat konten old money), orang dah kenal aku,” katanya ringkas.

Respons dalam ruangan komen videonya ketika bercuti di Eropah itu adalah bagi membalas pertanyaan peminat yang memintanya membuat kandungan berkaitan stail mewah klasik estatik lelaki hartawan era terdahulu.

Bahkan, daripada komennya dapat dilihat pensohor fesyen itu sedia berkongsi ilmu dengan sekumpulan anak muda tempatan yang baru berjinak-jinak dengan menubuhkan kelab ‘old money style’.

Terdahulu Wak Doyok mencuri perhatian selepas berkongsi beberapa foto dirinya menggayakan sut lengkap warna putih dan biru ketika bercuti di Eropah.

Menerusi hantaran tersebut secara tidak langsung dia menunjukkan lelaki budiman tidak kisah menggunakan pengangkutan awam sepanjang berada di tempat orang.

‘The gentleman style’, naik pengangkutan awam sahaja,” katanya dalam ruangan kapsyen.

Rata-rata memuji gaya pemakaian Wak Doyok yang sememangnya sinonim dengan sut elegen melambangkan pesona lelaki budiman.

Terdahulu, keberanian anak jati Klang, Selangor itu tampil bersut dengan karakter unik bersama misai dan jambang sekitar 2010 berjaya menarik perhatian khalayak.

Walaupun berdepan kutukan disebabkan faktor cuaca yang tidak sesuai dengan gaya pakaian klasik elegan itu, dia terus mengekalkannya sehingga mencipta populariti tersendiri dalam dunia fesyen dan hiburan.

Selain membina jenama pakaian, Wak Doyok turut dipilih sebagai pengacara program travelog selain diundang membintangi filem Abang Long Fadil 2 dan Abang Long Fail 3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok