Govinda pukau Kuala Lumpur

CUTI panjang bersempena perayaan Deepavali bukan halangan untuk penonton memenuhi Zepp Kuala Lumpur (KL) bagi menyaksikan persembahan mega Govinda pada 31 Oktober lalu.

Tidak menunggu lama, tepat pukul 8.30 malam kumpulan dari Indonesia itu tampil ke pentas bagi mempersembahkan karya-karya hebat mereka.

Penganjuran konsert Govinda Hal Hebat yang membariskan Ifan (vokalis), Ade (gitar), Yosafat Luki (bass) dan Jeje (dram) membuatkan premis muzik tersebut bergema dengan seleksi lagu galau.

Gelanggang Zepp KL dibuka dengan seleksi seperti Bawa Aku Lari, Karya Seni, Rahasia Terbesar dan Cinta Terakhir sebagai pemanas persembahan.

Tidak dinafikan, karya Govinda sangat indah kerana bait-bait liriknya ditambah melodi melankolik memberi kesan mendalam terhadap pendengar.

RAMAI terbuai dengan nyanyian Ifan yang cukup memukau.

Malah, suara vokalisnya yang menusuk kalbu membuatkan karya kumpulan yang ditubuhkan sekitar 2008 itu menjadi siulan ramai.

Tidak hairan panggung yang menjadi medan konsert artis tempatan beraksi dipenuhi aura manis dan syahdu seperti pilihan repertoire lagu pada malam tersebut.

Bukan hanya peminat, konsert sulung pertama Govinda di Malaysia turut meraih sokongan rakan seperjuangan lain termasuk Fattah Amin, Ivan Seventeen, Cakra Khan dan Anuar Zain.

Artis undangan

Menggandakan lagi momentum konsert, Govinda turut mengundang penyanyi Malaysia, Aina Abdul bagi mempersembahkan dua lagu Tentang Rasa dan Episode Bahagia.

Tidak dinafikan lagi kehebatan lantunan vokal Aina yang menjadikan kedua-dua dendangan tersebut disampaikan dengan cemerlang.

GANDINGAN vokal mantap Ifan dan Aina mendapat tepukan gemuruh penonton.

Malah, peminat berharap Aina dapat membuat ‘cover’ bagi kedua-dua lagu tersebut kerana disampaikan dengan aura tersendiri.

Bukan hanya Aina, Govinda juga membawakan vokalis kumpulan Padi iaitu Fadly bagi mempersembahkan lagu Begitu Indah.

Persembahan berdurasi lebih dua jam tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan solo Fadly yang membawakan lagu Tanpa Batas Waktu.

Tidak cukup dengan dua artis, Govinda turut membawakan Elica Paujin ke pentas bagi mempersembahkan lagu Mendua dan Kamu Adalah.

Boleh dikatakan penampilan Elica sangat cemerlang kerana lantunan vokalnya ternyata memukau penonton yang khayal dibuai alunan syahdu.

Tidak lengkap Hal Hebat tanpa kehadiran Ernie Zakri yang turut menjadi tunjang utama nama Govinda meluncur bagaikan peluru vokalnya di Malaysia.

ERNIE menyampaikan lagu Hal Hebat dan Masing-masing yang melonjakkan lagi populariti Govinda di Malaysia.

Selepas Ade bekerjasama dalam karya Masing Masing bersama Ernie pada tahun lalu, nama komposer yang sememangnya sudah dikenali di Malaysia itu semakin menjadi sebutan

Ernie menyampai dua buah lagu iaitu Hal Hebat dan Masing Masing yang menjadikan momentum persembahan semakin memuncak.

Persembahan diteruskan Govinda beberapa lagu seleksi popular mereka seperti Mantan Terbaik, Rindu Menyiksa, Setengah Mati Merindu dan Satu Frekuensi.

Istimewanya Govinda turut memilih lagu Tan Sri P. Ramlee iaitu Engkau Laksana Bulan bagi memperingati yang seniman agung Malaysia yang sangat dihormati dalam industri seni Nusantara.

GOVINDA bersama  Aina Abdul, Fadly Padi, Elica Paujin dan Ernie Zakri yang menjadi artis undangan konsert.

Pada konsert tersebut, peminat juga menjadi saksi pertama menyaksikan dokumentari pembikinan Album Govinda Live Studio Session yang dijalankan di Abbey Road Studio, Whesminster, London.

“Kami berjaya mengumpulkan 12 lagu di dalam album kita Govinda Live Studio Session 2023.

Perjalanan mewujudkan mimpi besar Govinda tersebut dirakam dalam sebuah video dokumentari bahkah di Indonesia juga kami tidak pernah menayangkan video ini.

“Istimewa untuk peminat di KL, kita tayangkan untuk anda semua,” kata Ifan.

Abbey Road Studio selama ini cukup terkenal bahkan pernah digunakan kugiran ikonik dunia iaitu The Beatles. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok