Tiada ‘job’, Da’i Syed mahu jual gelang perhiasan wanita

SUSULAN dihimpit pelbagai kontroversi termasuk kes rogol, pendakwah selebriti Da’i Syed mengakui tidak lagi menerima tawaran kerja.

Pun begitu, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, reda dengan ketentuan, malah percaya dengan rezeki Allah.

Setakat ini saya memang sudah tiada sebarang tawaran kerja tapi insya-Allah kalau Allah takdirkan ada rezeki, adalah,” katanya kepada HibGlam.

Syed memaklumkan perkara itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi sebutan rayuan berhubung sabitan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019.

Disoal mengenai sumber pendapatan, Syed memaklumkan yang dia dan isterinya Hana Ismail akan kembali aktif berniaga atas talian.

Kami dalam perancangan memulakan semula bisnes menjual gelang perhiasan wanita dari Mesir.

“Insya-Allah saya akan mulakan siaran langsung di TikTok dan untuk semua, bolehlah sokong dan beli barangan kami,” ujarnya.

Berdepan kata nista netizen rentetan kes mahkamah dihadapi, pelantun lagu Lama Tkoni itu mengakui membaca segala komen, namun memilih untuk memendam rasa.

Saya ada baca (komen netizen) tetapi tidak simpan dalam hati, sekadar tengok sahaja. Sebagai manusia saya pun ada rasa sedih,” tuturnya.

Mengenai kes mahkamah yang berlangsung, peguamnya Amin Othman memaklumkan perkara tersebut berkaitan pengurusan kes iaitu menfailkan petisyen rayuan.

Tambah Amin, kes membabitkan Syed akan disambung semula pada 10 Disember depan.

Terdahulu, pada 30 Ogos lalu Syed dihukum penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah kondominium pada 2019.

Bagaimanapun selepas 21 hari, Syed dilepaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut pada 20 September lalu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Penanguhan hukuman itu adalah sehingga rayuan pendakwah itu didengar dan diputuskan. HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok