PELAKON Datin Elvina Mohamad menyifatkan segelintir wanita sanggup merampas suami orang disebabkan terlalu mengejar kehidupan mewah.
Datin Elvina Mohamad atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 29, berkata, perkara tersebut berlaku kerana ada wanita sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan diri sedangkan perkahwinan bukan seindah yang dibayangkan.
Sebenarnya ada wanita yang fikir singkat, nak hidup mewah hanya sondol sahaja suami orang.
“Tapi bila masuk perkahwinan, semua itu tak seindah seperti yang mereka sangkakan.
Sampai sekarang usia perkahwinan saya sudah tujuh tahun dan macam-macam yang sudah kami lalui,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Dalam masa yang sama, dia turut menasihati wanita supaya memiliki kerjaya sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada pendapatan suami.
“Saya rasa kalau nak duit, bekerja dan usaha sendiri. Kalau kita nak bergantung dengan pasangan kita walaupun dia sangat kaya raya pun tak boleh juga.
Sebab pada akhirnya kita sendiri yang kena tanggung, jadi sediakan payung sebelum hujan.
“Saya nasihatkan pada perempuan di luar sana, mereka perlu ada karier sendiri,” ujarnya.
Bercerita lanjut, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu mendedahkan dia masih berterusan menerima mesej-mesej ‘pelik’ dalam media sosialnya walaupun sudah mendirikan rumah tangga.
“Masa kami kerap kongsi (foto bersama suami) orang masih mesej.
Mereka bukan tak tahu, mereka hanya buat-buat tak tahu dan sengaja nak mengacau.
“Ada segelintir daripada mereka yang tak faham bahasa sehingga saya dapat DM yang pelik-pelik tetapi saya memilih untuk elakkan dan sekat mereka. Tak mahu layan,” ujarnya lagi.
Sekadar info, Elvina Mohamad mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan pada Mac 2018 lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Karl Mateen dan Ean Maleeq. – HIBGLAM