Babah, indahnya kasih sayang bapa OKU

GALAU dan meruntun emosi. Demikian gambaran tepat untuk garapan segar filem terbaharu berjudul Babah yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 Disember nanti.

Filem ini dihasilkan oleh Nads Media Entertainment yang diinspirasikan daripada klip video viral tentang seorang ayah yang membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuannya.

Selain kisah kasih sayang, karya tersebut juga  menggabungkan inspirasi daripada satu lagi klip video yang menyentuh hati tentang seorang wanita muda yang berdepan cabaran hidup apabila menghidap Sindrom Guillain-Barre.

Tidak ketinggalan garapan plot twist yang segar dijangka menjangkau standard kebiasaan filem bergenre serupa.

Tonjol kasih sayang

Babah bukan sekadar sebuah filem sedih tetapi mengangkat tema rindu, perasaan yang jauh lebih mendalam dan menyentuh hati.

Rindu bukan sekadar kesedihan tetapi campuran perasaan sayu, gembira, dan kehilangan yang dialami dalam momen-momen tertentu.

Filem tersebut memberi ruang kepada penonton untuk mengimbau kenangan, terutama hubungan istimewa antara ayah dan anak perempuan.

Kata pegarahnya, Mohd. Shah Faizul Ibrahim, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan selepas membaca skrip yang diberikan kepadanya.

Katanya, apa yang membuatkan filem tersebut menarik adalah kelainan dari segi penyampaian.

“Saya berasakan yang jalan ceritanya sangat dekat dengan diri saya. Lepas membaca skrip, saya terus beri kata putus kepada penerbit yang saya ingin mengarahkan Babah.

“Penulis skrip juga adalah penerbit kepada filem ini dan saya berasakan penulisannya sangat peribadi dan itu membuatkan saya yakin ini adalah sebuah naskhah yang baik,” ujarnya.

Pun begitu, Mohd. Shah juga tidak menafikan penghasilan filem ini turut berdepan dengan cabaran yang tersendiri.

“Filem berlatarbelakang tahun-tahun yang berbeza iaitu mulai tahun 1990 sehingga 2020, jadi kami perlu pastikan babak dipaparkan perlu sama dengan tahun berkenaan dan itu memerlukan penyediaan props yang tepat dan bersesuaian.

“Selain itu, ada cabaran kepada pelakon untuk berlakon dan menyampaikan dialog kerana filem ini lebih kepada konsep cinema ‘verite’ iaitu penceritaan yang santai dan bersahaja untuk mendapatkan mood yang realistik,” ujarnya.

Sebagai seorang pengarah, dia berharap agar penonton dapat menerima cerita ini dan dapat merasai apa yang ingin disampaikan.

“Kita jarang disajikan dengan filem yang sebegini, maka saya rasa filem Babah memberi peluang kepada penonton untuk menonton sebuah naskhah yang selain memberikan hiburan, turut menyentuh emosi dan perasaan,” jelasnya.

Sementara itu, ujar Qi Razali yang menggalas watak Isyak pula, karakter dimainkannya sememangnya mempunyai cabaran tersendiri.

“Watak Isyak merupakan seorang ayah yang mempunyai masalah pendengaran dan menggunakan bahasa isyarat, memang sangat kompleks.

“Macam saya, belum ada anak, jadi saya betul-betul kena selami watak sebagai seorang ayah kurang upaya. Memang kena main ekspresi dan emosi lebih.

“Bahasa isyarat pula memang saya belajar dengan guru, teliti dan fahami supaya penyampai tepat dan berkesan.

Selain Qi, filem Babah turut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Cristina Suzanne, Sweet Qismina dan Adam Lee.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok