Festival Muzik Futureland ‘hidupkan’ semula Stadium Merdeka

BAKAL menggamit memori sekali gus mengembalikan kegemilangan lokasi ikonik, Stadium Merdeka.

Itu sejarah baharu yang bakal tercipta sempena Festival Muzik Futureland pada 23 November depan.

Jika sebelum ini Stadium Merdeka pernah menjadi tempat berlangsungnya konsert ramai bintang antarabangsa, kali ini, Watsons dengan Kerjasama Warner Music Malaysia membariskan penghibur tanah air pula.

Antara suara yang bakal bergema pada malam tersebut ialah Aina Abdul, Hujan, Bunkface, Kugiran Masdo, Syamel dan Ayda Jebat.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, selepas menjalani proses penambahbaikan kemudahan, lokasi tersebut kembali membuka pintu kepada orang ramai sejak 17 Ogos lalu.

Katanya, dengan usaha menambah baik segala infrastruktur, Stadium Merdeka bakal kembali menjadi antara lokasi terbaik untuk sebuah konsert berskala besar.

“Pada 1957, di atas tanah yang sama ini, Perdana Menteri pertama kita, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan Tanah Melayu bebas daripada pemerintahan British.

“Di sini, saya berterima kasih kepada pihak Warner Music Malaysia kerana memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi bagi Festival Muzik Futureland.

“Festival ini bakal jadi salah satu momen bersejarah kerana menjadi acara pertama di sini selepas melalui proses pemulihan Stadium Merdeka,” katanya pada sidang media acara berkenaan di Stadium Merdeka di sini, baru-baru ini.

Nie Ching menambah, Festival Muzik Futureland juga adalah bukti Stadium Merdeka merupakan lokasi unik yang berupaya menarik orang ramai khususnya generasi muda menyelusuri sejarah terutama berkaitan industri seni negara.

“Menerusi penganjuran ini, saya yakin kita dapat mencipta episod baharu dalam merencana perjalanan sejarah Stadium Merdeka.

“Pada Oktober 1996, mendiang Michael Jackson pernah membuat persembahan di Stadium Merdeka ini menerusi konsert Michael Jackson’s HIStory World Tour.

“Justin Bieber pula pernah mengadakan konsert My World Tour pada April 2011.

“Stadium Merdeka akan dijadikan lokasi buat seluruh rakyat Malaysia menikmati sukan, gaya hidup dan acara budaya yang akan meninggalkan momen istimewa kepada mereka yang hadir,” katanya lagi.

Sementara, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Dinesh Ratnam berkata, pihaknya teruja menganjurkan acara tersebut sejajar dengan komitmen untuk memeriahkan lagi industri muzik tanah air. 

“Kami amat berbangga dapat menganjurkan acara muzik pertama di lokasi bersejarah ini selepas selesai proses pengubahsuaian. Acara ini bakal menawarkan pengalaman muzik yang hebat dan unik selain memupuk semangat patriotisme dalam kalangan penonton. 

“Kerjasama dengan Watsons juga dilihat mampu meningkatkan keupayaan kami untuk memberi pengalaman luar biasa kepada pencinta muzik tempatan, selain meneruskan sokongan berterusan terhadap seni dan budaya tanah air,” tuturnya.

Festival Muzik Futureland turut menampilkan barisan artis popular lain seperti Tuju, Zynakal, Fimie Don, Amsyar Lee, Rizal Rasid, Empty Page, Fugo dan ramai lagi.

Selain persembahan muzik, festival muzik itu juga akan dimeriahkan dengan Watsons Glow Up Zone yang mengetengahkan pelbagai bidang kecantikan dan kesihatan daripada Watsons Malaysia.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok