‘Flyhigh Ryan’, anak Rita Rudaini cemerlang lagi

SEJUK perut ibu mengandung, anak sulung pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin sekali lagi mencatatkan kejayaan cemerlang apabila menerima Anugerah Penghormatan Pengetua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Selangor.

Rita berkata, pengiktirafan diraih adalah bersandarkan pencapaian akademiknya dengan Purata Nilai Gred (PNG) 3.842 dalam peperiksaan Tingkatan 3, semester satu untuk tahun 2024.

“Alhamdulillah. Ryan dapat anugerah pengetua lagi hari ini. Terima kasih HR Ryan Mami ustazah wakilkan untuk Ryan. Flyhigh Ryan,” katanya dalam hantaran Instagram.

Menyemak ruangan komen, rata- rata pengikut akaun laman sosial ibu dua anak itu menitipkan ucapan tahniah selain berbangga dengan kedua-dua anak beranak terbabit.

“Hebat Anugerah Pengetua itu, tahniah anak dan ibu hebat,” kata seorang netizen.

“Tahun gemilang buat mommy dan anak-anak. Tahniah Rita Rudaini,” tulis pemilik akaun lain.

“Sangat kuat dan anak yang sangat berdisiplin dan soleh. Didikan ibu yang hebat,” kata peminat.

Sebelum ini remaja berusia 15 tahun itu mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod dalam acara 100 meter (m) dan 200m di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam pada Ogos lalu.

Tahun lalu Rayyan yang belajar di aliran Ulul Albab di MRSM Sungai Besar meraih GPA 3.99 dan turut disenaraikan sebagai 10 pelajar terbaik bagi Tingkatan Dua.

Sebagai ibu tunggal, kegigihan aktres itu membesarkan dua anak sendirian termasuk anak bongsunya, Airit Qaqa Arjuna, 13, biarpun berdepan pelbagai dugaan menjadi contoh kepada wanita yang senasib dengannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok