‘Nak isteri cantik suami kenalah melabur’

DALAM perkahwinan kesefahaman antara suami isteri penting bagi menjaga keharmonian rumah tangga. Komunikasi dan sikap saling bertolak ansur membantu pasangan untuk mencapai kata sepakat.

Begitu juga yang dilakukan penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Rock negara, Ella dalam menjaga kelestarian hubungan dengan suami, Azhar Ghazali, 44.

Sifat saling terbuka antara satu sama lain bukan sahaja mencakupi soal menyediakan keperluan asas rumah tangga, tetapi turut melibatkan tentang penjagaan penampilan dan kesihatan diri.

Kata Ella, sekiranya suami benar-benar menyayangi isteri, tidak salah ‘melabur’ bagi membantu isteri untuk kelihatan menawan dalaman dan luaran.

“Tidak salah suami mengeluarkan belanja bagi membantu isteri untuk kelihatan cantik. Kalau benar suami sayangkan isteri, tidak perlu berkira kerana ini juga salah satu penghargaan buat pasangan.

“Isteri banyak menghabiskan masa untuk menjaga keluarga. Tidak salah suami isteri saling bertolak ansur antara sama lain.

“Paling penting pasangan itu mempunyai kesefahaman dan kesedaran. Kesedaran itu yang seronok. Sekiranya isteri boleh dahulukan (bayaran) lakukan sahaja, tetapi kalau suami boleh dahulukan, biarkan sahaja suami yang lakukan,” katanya sambil tertawa.

ELLA semakin berkeyakinan dengan berat 40kg berbanding 60kg sekitar tiga tahun lalu. – AFIQ RAZALI

Selain penampilan, penjagaan kesihatan dalaman juga penting bagi memelihara kesejahteraan rumah tangga.

Atas sebab itu juga Ella kini mengambil langkah menitiberatkan penjagaan kesihatan diri dengan mendapatkan rawatan hormon bersama pakar di Skyhill Clinic yang terletak di Denai Alam, Shah Alam.

Kesihatan hormon

Sebagai selebriti berpengaruh dan masih aktif membuat persembahan, kesihatan amat penting buat Ella untuk mengekalkan energi terbaik.

Di samping pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti fizikal, Ella turut menggunakan khidmat Dr. Linda Mat Hassin di Skyhill Clinic untuk mendapatkan rawatan hormon.

“Kesihatan hormon amatlah penting untuk para wanita. Saya sendiri merasai perbezaan selepas menjalani rawatan hormon.

Saya berharap lebih ramai wanita akan tampil menjalani saringan dan pemeriksaan kesejahteraan hormon supaya mereka kekal sihat meniti usia seperti saya.

“Rawatan ini membantu saya untuk mengekalkan keseimbangan emosi, bertenaga dan membantu untuk kekal muda daripada usia sebenar.

“Bukan sahaja membantu badan sihat, melambatkan proses penuaan, tetapi saya juga tidak mudah berasa penat lebih-lebih lagi setelah selesai mengadakan persembahan,” katanya yang sudah mendapatkan rawatan hormon sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, selepas pandemik Covid-19, dia mula menyedari perubahan dalam diri.

“Saya cepat penat sehinggakan pernah mengalami tekanan darah tinggi hingga hampir 140 mmHg (milimeter merkuri) dan berat badan naik mendadak.

“Apabila badan mula memberi isyarat tidak selesa, bila-bila masa penyakit boleh menyerang.

“Pada usia begini, penjagaan kesihatan sangat penting, bukan sahaja membolehkan saya untuk memberikan yang terbaik kepada peminat, tetapi membantu untuk menjaga keluarga dan hubungan suami isteri,” ujarnya.

ELLA (kanan) bersama Dr. Linda (tiga dari kiri) bersama wakil MBOR mengesahkan pencapaian Skyhill Clinic, baru-baru ini.

Setelah lebih setahun mendapat rawatan, Ella bersyukur berat badannya kini berjaya mencecah 48 kilogram (kg) berbanding sebelumnya melebihi 60kg.

Pada masa sama, pusat rawatan tersebut mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai klinik yang paling ramai melakukan pemeriksaan hormon di Malaysia dengan mencatat lebih 1,000 individu membuat ujian saringan pada tahun ini.

Pelaburan

Sebagai selebriti, Ella perlu memastikan dirinya tampil mempesona. Bukan sahaja berbicara soal fesyen dan gaya, bentuk badan dan penjagaan kulit turut penting.

Ella juga tidak terlalu berkira dengan diri sendiri. Baginya, setiap individu berhak merawat diri mengikut kemampuan.

“Memang saya berbelanja untuk rawat diri bagi memastikan mereka di sekeliling mendapatkan yang terbaik. Saya sanggup berhabis tak kira sama ada banyak atau sedikit. Paling penting dapat membantu saya membuat persembahan terbaik dan menjaga kesihatan diri daripada pelbagai aspek.

“Bekerja dalam industri hiburan, saya perlu ‘berani’ mengeluarkan duit untuk menjaga kerjaya dan keluarga. Saya anggap ini sebagai satu pelaburan bukan sahaja untuk keluarga, tetapi buat peminat juga.

“Bagi saya ini satu pelaburan yang berbaloi selain masih dalam jangkauan kemampuan. Lebih baik saya fokus kepada kesihatan berbanding melakukan perkara yang tidak bermanfaat,” katanya.

Di samping itu, Ella juga mengamalkan pemakanan produk berasaskan organik. Meskipun lebih mahal berbanding biasa, namun pendekatan tersebut memberikan lebih kepuasan.

“Sejak kebelakangan ini saya sudah mula mencari makanan organik. Setelah mengikuti kelas motivasi Ibu Hanim (Datuk Faridah Hanim Haron), saya mula fokus terhadap kesihatan.

“Setelah ada pengetahuan, saya akhirnya bertemu dengan Dr. Linda bagi mendapatkan rawatan hormon dan memulihkan semula kesihatan dari dalam,” katanya.

Ella sedang berkira-kira untuk memperkenalkan seorang pendatang baharu yang mungkin ada potensi menjadi pelapis rockers wanita tanah air.

Seiring dengan perjalanan usia kerjaya, Ella atau nama lengkapnya Norzila Aminudin mengakui, sokongan peminat menjadi nadi kekuatan terus ‘bernafas’ dalam nyanyian.

Ella tidak peduli sekiranya perlu berbelanja lebih demi memberikan persembahan yang terbaik buat peminat.

“Sebagai penyanyi, saya berusaha berikan yang terbaik kepada peminat seperti mana yang mereka mahukan.

“Bukan sahaja buat peminat, malah saya juga akan sentiasa berikan yang terbaik kepada muzik rock. Pada saya irama rock itu tidak akan mati,” ujarnya.

Pada masa sama, Ella turut menasihati barisan pelapis baharu agar tidak mudah berputus asa dan meneruskan perjuangan memartabatkan muzik rock.

Ella turut mendedahkan bakal memperkenalkan ‘wajah baharu’ yang dikatakan berpotensi untuk dijadikan sebagai pelapis penyanyi rock wanita tidak lama lagi.

“Menjadi penyanyi rock ini bukan satu perkara yang dibuat-buat. Mereka perlu semula jadi dan tidak boleh dibuat-buat atau sekadar terikut-ikut dengan penyanyi lain.

“Sepanjang saya dalam industri, alhamdulillah tidak mempunyai banyak cabaran, tetapi saya berjuang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kerjaya dalam bidang ini.

“Penyanyi baharu itu ada, tetapi belum masanya lagi. Tunggu dulu, insya-Allah kami akan umumkan nanti dan diharapkan semua dapat bersabar,” jelasnya.

Biarpun usia sudah menjangkau lebih separuh abad, Ella bagaimanapun menegaskan tidak akan meletakkan nokhtah kepada kerjaya selagi hayat dikandung badan.

“Saya tetap akan teruskan kerjaya asalkan tidak mengganggu waktu bercuti dan masa untuk bersama keluarga. Selagi mampu, insya-Allah saya akan lakukan,” ujarnya.

Semangat Ella itu dilihat sama seperti bintang terkenal antarabangsa iaitu Madonna dan Cher yang sehingga kini masih ligat di atas pentas biarpun masing-masing sudah mencecah umur 66 tahun dan 78 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok