[VIDEO] ‘Jual keris kesayangan demi kelangsungan hidup’

EMPAT bulan tidak mampu bekerja akibat menderita sakit lemah jantung serta buah pinggang, pelakon Ebby Yus menjual lima keris koleksi peribadinya bagi menampung kehidupan harian.

Ebby atau nama penuhnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, berkata, dia enggan menyusahkan ahli keluarga serta rakan yang sudah banyak membantu sejak disahkan mempunyai masalah kesihatan enam tahun lalu.

“Selepas memasang alat perentak jantung Disember tahun lalu saya sudah tidak mudah pitam, tetapi masih belum boleh buat kerja berat atau ambil ‘job’ di luar studio biarpun kalau boleh saya nak bekerja.

Penyakit lemah jantung yang saya hidapi sejak 2018 membuatkan tenaga saya tidak sekuat dulu, apatah lagi sekarang kena mulakan rawatan dialisis akibat sakit buah pinggang.

“Dahulu saya sudah jual empat kereta, sekarang saya ada keris lama yang mempunyai nilai kepada pengumpul. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat tampung belanja harian,” katanya ketika ditemui HibGlam hari ini.

Belum begitu cergas selepas tiga hari dibenarkan pulang ke rumah, pelakon dan pelawak disegani ramai itu berkampung di hospital selama 17 hari awal bulan ini.

Katanya, selepas pembedahan memasang perentak jantung akhir tahun lalu kesihatan berada pada tahap yang baik bahkan dapat memenuhi beberapa tawaran kerja termasuk bersama Sepahtu Reunion.

Namun dalam insiden terbaharu, Ebby dikejarkan Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana pening akibat tekanan darah rendah sekitar awal bulan ini dan dirawat lebih dua minggu.

“Kesihatan saya mula terganggu sejak empat bulan lalu hingga pergerakan semakin terbatas tetapi tidak ramai tahu keadaan saya (masuk wad) kerana tidak mahu hebohkan.

Saya jalani pembedahan kecil pada perut bagi memasukkan tiub untuk memulakan rawatan dialisis air di rumah namun luka saya dijangkiti kuman yang menyebabkan saya lama di hospital.

“Sepanjang tempoh itu berat saya dari 72 kilogram (kg), susut kepada 60 kg,” katanya.

EBBY menjalani pembedahan kecil pada perut bagi memasukkan tiub untuk memulakan rawatan dialisis air.

Menurut Ebby lagi, buat sementara waktu dia perlu menjalani dialisis darah di hospital sebelum mula melakukan dialisis air di rumah empat kali sehari dalam tempoh terdekat.

Esok (Ahad) saya perlu ke hospital lagi bagi menjalani rawatan susulan selain periksa tiub atau kateter yang dipasang pada bahagian perut,” ujarnya yang kini tinggal di rumah pembantu peribadinya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada masa sama aktor yang sudah hampir empat dekad aktif dalam industri seni itu berterima kasih kepada saudara mara dan rakan yang menziarahi serta menghubunginya untuk bertanya khabar.

Memang kalau boleh tak mahu heboh sebab risau kawan bimbangkan keadaan saya. Kalau rakan artis, ramai termasuk Jepp Sepahtu dan Roy Azman yang datang dengan geng konvoi bermotosikalnya.

“Terima kasih sangat-sangat sebab sampai sekarang masih ramai ‘call’, mesej dan tanya khabar. Banyak kata-kata semangat saya terima. Terima kasih juga yang hulurkan bantuan dan bersedekah,” katanya.

Selepas ini penggiat seni asal Negeri Sembilan itu akan menetap bersama kakak keduanya di Port Dickson selama sebulan lebih.

Tahun lalu, Ebby pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), HKL berikutan tahap kekuatan jantungnya menurun sebanyak 27 peratus dan menjalani pembedahan memasang perentak jantung. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok