‘Saya bangga dengan pencapaian Aina Abdul, moga terus kuat’

PERNAH menjadi ‘guru’ kepada penyanyi Aina Abdul, ratu rock negara Ella mengharapkan bekas anak didiknya itu tidak mudah patah semangat dengan kritikan dan kecamam untuk bertahan lama dalam industri hiburan.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 58, turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian Aina yang dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ke-36 pada 11 Oktober lalu.

“Tentulah saya berasa bangga dengan pencapaian dia itu. Dia juga banyak mencuba pelbagai perkara baharu dalam nyanyian.

Bagi saya, dia seorang yang kuat dalam mendepani kritikan. Biar apa pun khalayak kata, dia tetap terus berikan hasil yang terbaik.

“Buktinya, biarpun teruk dikritik dia berjaya buka mata khalayak bahawa dia penyanyi yang baik,” katanya kepada HibGlam.

Ella ditemui dalam majlis pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan Skyhill Clinic sebagai klinik paling banyak melakukan pemeriksaan hormon di Malaysia, semalam.

Kata Ella, walaupun sibuk dengan komitmen kerja, dia mengikuti perkembangan karier penyanyi berusia 30 tahun itu.

Saya sibuk tetapi apabila berpeluang saya akan mengikuti perjalanan kerjaya nyanyian Aina dalam media sosial.

“Walau apa pun saya mendoakan yang terbaik buat Aina. Begitu juga penyanyi muda lain seperti Ernie Zakri agar terus maju ke hadapan,” katanya.

Terdahulu timbul dakwaan Aina dikatakan tidak layak digelar sebagai Bintang Paling Popular.

Sebelum ini Ella pernah bertindak sebagai mentor kepada Aina dalam program realiti nyanyian, Mentor Legend pada 2014 sekali gus dinobatkan sebagai naib juara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok