Belanjawan 2025: RM50 juta untuk pelihara khazanah bahasa, sastera

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM50 juta untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi merancakkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan terutamanya dalam kalangan anak muda.

Menurutnya ketika pembentangan Belanjawan 2025 hari ini, inisiatif tersebut akan diteruskan bagi menjaga khazanah bahasa dan sastera agar tidak dilupakan.

“Saya selalu tekankan dalam Gelombang Kebangkitan Asia bahawa pembangunan ekonomi harus seiring dengan pembangunan budaya dan nilai.

Khazanah bahasa dan sastera perlu terus dipertahankan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Bagi mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan, kerajaan menyediakan RM50 juta buat Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan penggiat bahasa untuk mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ujarnya, peruntukan tersebut termasuk mengalih bahasa karya-karya agung, penganjuran teater serta memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.

Dalam masa sama, kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan buat Dana Kandungan Digital, Insentif Filem Malaysia dan Mycreative Ventures bagi membantu mempromosikan karya tempatan.

“Kerajaan mendukung penuh pembangunan industri seni kreatif seperti meningkatkan peruntukan Dana Kandungan Digital kepada RM65 juta bagi mempromosikan karya-karya terutamanya yang berteraskan semangat kenegaraan.

Hampir RM40 juta turut disediakan di bawah Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia,” jelasnya.

Tidak hanya meningkatkan peruntukan, pihak kerajaan juga mewujudkan program Belia Kreatif MADANI agar generasi muda menyertai bengkel seni yang disediakan.

Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi membantu menyemarakkan lagi industri kreatif negara.

“MyCreative Ventures pula disediakan sebanyak RM25 juta bagi menyokong industri kreatif melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan menyediakan pembiayaan untuk usahawan sosial kreatif.

Program Belia Kreatif MADANI akan dianjurkan bagi menarik hampir 16,000 anak muda menceburi bengkel seni dengan peruntukan RM30 juta.

“Aktiviti disematkan termasuklah bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem dan pertandingan filem pendek,” jelasnya lagi. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok