Saya memang tak boleh tidur malam, mengigau mikirkan tentang kereta”
Demikian respon pelakon Bell Ngasri apabila menerima sebuah kereta mewah Mini Cooper Clubman bernilai RM200,000 daripada DTC Motors Sdn. Bhd. sempena kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular, sebentar tadi.
Kereta tersebut telah disampaikan oleh penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin (KJ) dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid.
“Jika mengikut tradisi pemenang utama dapat kereta. Tapi dapat trofi pun saya dah bersyukur sangat-sangat.
“Tidak sangka pada hari saya ke Hot FM untuk temubual, ada orang menghubungi Hot FM meluahkan hasrat beri kereta. Mulanya saya ingat scammer (ketawa).
Alhamdulillah, betul saya dapat kereta. Terima kasih kepada DTC Motors dan juga semua yang berusaha merelisasikan hadiah ini,” ujar Bell yang sebelum ini telah memiliki dua buah kereta.
Bell yang mencuri hati pencinta filem tempatan menerusi watak Barkoba berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima hadiah kereta idamannya.
Ini kerana, diangkat sebagai Bintang Paling Popular sudah cukup besar buat dirinya.
Apabila ada orang nak beri kereta, saya tidak kisah jenis apapun saya terima. Jadi, apabila diberi kereta mewah yang memang diidamkan, saya berapa cukup terharu.
“Syukur dan terima kasih kerana undian rakyat Malaysia saya dapat begitu banyak rezeki yang tidak disangka-sangka ini,” ujar Bell.
Sementara itu, Afendy Wahid berkata, pihaknya berniat menghadiahkan kereta kepada Bell selepas melihat pelakon itu tidak diberikan kereta yang sudah menjadi kelaziman dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) sebelum ini.
Saya tertanya-tanya kenapa Bell tidak dapat kereta seperti pemenang terdahulu. Saya berbincang dengan kakitangan, apa kata kita yang beri.
“Saya hubungi pihak Bell dan segala usaha dipermudahkan. Kami pilih kereta Mini Cooper Clubman kerana berasa sesuai dengan Bell,” ujar Afendy yang turut memberitahu DTC Motors memberikan diskaun sehingga RM50,000 selama sebulan bermula 1 Ogos ini sempena bulan kemerdekaan.
Terdahulu,bintang drama 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid itu mencetuskan fenomena seluruh Malaysia apabila namanya tersenarai sebagai lima terbaik bagi kategori Artis Komedi Popular ABP.
Bell yang aktif berlakon sejak 37 tahun lalu namun buat julung kalinya tercalon dalam acara anugerah tersebut dan berjaya membawa pulang anugerah Artis Komedi Popular dan Bintang Paling Popular dengan undian keseluruhan sebanyak 12,654,855. – HIBGLAM