‘Maafkan saya, insiden simbah air hanya gimik’

“SAYA mohon maaf banyak tipu netizen, saya tak sangka video itu tular.”

Demikian penjelasan penyanyi Arnie Shasha mengenai pergaduhannya dengan pelakon Qistina Raisah di tempat parkir sebuah pusat beli belah, baru-baru ini.

Katanya, rakaman insiden dia disimbah air selebriti berusia 16 tahun itu adalah gimik sempena pelancaran single pertama serta muzik video lagu berjudul Lepak.

Akui pelakon tersebut, lagu berkenaan sudah dua tahun diperam sekali gus memerlukan bahan promosi yang kuat untuk memperkenalkannya kepada khalayak.

“Saya tak sangka video itu menjadi sangat viral. Ramai bagi komen tapi saya terima apa sahaja orang nak cakap, saya harap kalian terima maaf saya.

“Semua ini adalah rancangan pengurus serta syarikat pengurusan. Saya ikut sahaja yang terbaik seperti dicadangkan.

“Kalau gimik ini menyebabkan ada yang tidak boleh terima saya, tak mengapa tetapi saya tetap akan teruskan karier lakonan dan nyanyian,” katanya usai majlis pelancaran single Lepak, hari ini.

Mengenai komen netizen selepas video gaduh tersebut tular, katanya ramai mengecam Qistina kerana tidak tahu situasi sebenar gadis terbabit berkelakuan sedemikian.

Arnie yang juga anak kepada penerbit filem, Datuk Rosmarayu Mokhtar berharap masyarakat tidak berterusan mengutuk Qistina yang hanya mengikut skrip diberikan.

“Sebelum merancang gimik ini kita dah berbincang dengan Qistina dan dia juga bersetuju apabila boleh memberikan komitmen selain sangat profesional.

“Tapi saya mohon jangan marah atau kutuk Qistina kerana secara realitinya dia seorang yang sangat baik dan cuma ikut kehendak cerita,” ujarnya.

Sebelum ini, wakil pengurusan pelakon berusia 19 tahun itu mengundang media dengan alasan mahu mempertemukan Arnie dengan Qistina kononnya agar mereka dapat berbaik-baik semula.

Ini susulan pendedahan, Arnie yang mengakui tidak lagi mampu menahan sabar dengan sikap rakannya iaitu Qistina apabila didakwa sering mendedahkan aib dirinya kepada orang lain.

Tetapi Arnie ketika ditemu bual media menafikan dakwaan perbalahan antara mereka sebagai gosip murahan, namun menegaskan perkara itu benar dan berpunca daripada Qistina yang tidak menghormati peribadinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok