Bukan ‘pelaris’ tapi babak tidak berbaju ada objektifnya – Mierul Aiman

PELAKON muda yang kian mendapat perhatian, Mierul Aiman mengakui tidak kisah tayang badan dalam mana-mana naskah yang dibintangi.

Menurut Mierul atau nama sebenarnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, sebagai pelakon dia sekadar memenuhi tuntutan skrip.

“Saya percaya setiap watak ada ceritanya tersendiri.

“Jika skrip menuntut untuk saya tidak berbaju dalam sesuatu babak, pasti ada objektifnya yang terdiri,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media drama Project: Exit, semalam.

Menerusi Project: Exit, bekas Hero Remaja 2021 itu tampil tidak berbaju dalam episod pertama.

Ditanya tidakkah dia rasa dipergunakan sebagai pelaris sesebuah drama dengan menonjolkan babak tidak berbaju, Mierul menyangkal perkara itu.

Saya percaya skrip sesebuah naskah itu ditulis sebelum pelakon dipilih. Bukan pilih pelakon dulu baru tulis skrip.

“Jadi tiada isu saya dipergunakan atau tidak untuk melariskan sesebuah karya,” ujarnya.

Sebelum ini Mierul pernah terlibat dalam drama fenomena, Project High Council yang banyak mempamerkan dia tidak berbaju.

Menerusi drama terbarunya yang belum ditayangkan iaitu Anak Anak Mafia juga mempamerkan karakternya tidak berbaju.

Mengulas lanjut karakternya dalam drama Project: Exit, Mierul membawakan watak sebagai remaja berusia 16 tahun yang tinggal di sebuah pusat tahanan remaja bermasalah.

Drama ini mengangkat masalah kesihatan mental sebagai subjek. Setiap karakter dalam drama ini mempunyai kisah mereka tersendiri. Begitu juga dengan saya.

“Saya bekerja keras dan bertungkus lumus dalam menghayati karakter sebagai Hadi dalam drama ini.

“Saya nak cerita lebih-lebih pun tak boleh kerana setiap watak akan didedahkan masalah mereka dalam setiap episod. Jadi kena tonton drama ini,” kongsinya.

Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria, Project: Exit yang turut dibintangi Naim Daniel, Shasha Abedul, Kimberly Cheah, Nabila Huda dan Farah Ahmad ini akan mula bersiaran di saluran Astro Premier dan Astro Citra bermula 1 November depan, pukul 9 malam.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok