OMG OktoberFest 2024 festival muzik bersih

MENJANJIKAN kepuasan maksimum, OMG OktoberFest 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Monkey Canopy Resort, Sungai Long, Selangor bermula 25 Oktober ini bersih daripada anasir liar mahupun pembabitan syarikat minuman keras.

Wakil Oktober Music Fest, Hafiidzzul Nizal Zulkhefli, berkata, persepsi negatif sebegitu hanya kerana nama fiesta tersebut kebetulan seakan-akan sama dengan penganjuran festival muzik di luar negara yang sinonim dengan pesta minuman keras.

“Jangan risau, festival ini dinamakan OMG OktoberFest disebabkan diadakan pada bulan Oktober, sekali gus tiada kena mengena dengan acara tahunan popular di luar negara.

Kita boleh katakan fiesta muzik dengan diselitkan pelbagai program sampingan lain, termasuk gerai jualan makanan dan barangan sebagai acara ‘halal’.

“Sebagai penganjur acara yang mempunyai bertahun-tahun pengalaman, kami mengutamakan keselesaan, selain menjaga sensitiviti semua pihak,” katanya ketika sidang media OMG OktoberFest 2024, baru-baru ini.

HAFIIDZZUL memberi jaminan OMG Oktoberfest 2024 merupakan parti atau festival bebas alkohol.

2 konsert

Berlangsung di pusat peranginan atas bukit di Sungai Long, lokasi percutian dengan pelbagai tarikan termasuk taman dinosaur dan lapangan go-cart itu dikatakan lokasi paling tepat untuk acara berkenaan.

Menurutnya, tarikan utama tentu sahaja dua konsert iaitu hari kedua dengan Rave Party yang membariskan Chukiess & Whackboi, Nahsyk, Sherry Alyssa dan Janiss Foong pada 26 Oktober, pukul 8 malam hingga 2 pagi.

Pada sebelah siangnya, bermula dari pukul 5 petang hingga 7 malam, Tour de Fun Run pula memenuhi keinginan peminat sukan dan aktiviti kecergasan.

Hari terakhir festival iaitu 27 Oktober, ada Hip Hop Tea Dance Party dari pukul 3 petang hingga 7 malam menampilkan artis hip-hop tempatan termasuk Aman Ra, MK, Benzooloo, DJ Fuzz, K.O.I, 53 Universe, B-Heart dan Danial Bogers.

“Menariknya, bagi Rave Party dan Hip Hop Tea Dance Party, setiap pembelian tiket masuk akan mendapat percuma minuman ringan, goodies dan tempat letak kereta.

Pengunjung tidak perlu risau kerana OMG Oktoberfest 2024 merupakan parti atau festival bebas alkohol,” katanya.

DJ Fuzz antara selebriti yang bakal memanaskan pentas Hip Hop Tea Dance Party pada 27 Oktober ini.

Hakikatnya hari pertama festival pada 25 Oktober juga sudah dimulakan Craving Food Festival dan Chill on Hill Festival yang menyajikan gerai makanan aneka pilihan.

Pesta makanan dan jualan barangan dijadualkan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan masuk percuma.

OMG Oktoberfest 2024 dianjurkan OMG Music Festival dengan kerjasama Idea Music KL bersama solongan MLB, Monkeys Canopy Resort serta pengurusan artis, Asia Empire.

Maklumat lanjut dan tiket mengikuti acara khas festival boleh dilayari melalui laman web rasmi www.omgmusicfestival.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok