Mona Allen selar netizen suruh nasihat suami jangan jadi batu api

SUAMI dilabel batu api apabila mencampuri urusan rumah tangga artis lain, pelakon Mona Allen menempelak tuduhan tersebut selain menegaskan pasangannya itu hanya memberi pandangan peribadi.

Ujar Mona atau nama sebenarnya Muna Hafiraneza Allen, 39, suaminya, Pekin tidak memburukkan sesiapa dan hanya bersuara menerusi sudut pandang seseorang yang pernah bekerjasama dengan artis terbabit.

“Apa yang batu api? Bukankah dalam Islam kita harus berkata yang baik-baik sahaja.

“Apa yang suami saya katakan tentang Fattah, adakah satu penghinaan?

“Kita tidak tidur sebantal dengan mereka. Tapi bila seorang itu nampak dan ingin kongsi melalui POV (point of view) dia, siapa kita untuk menilai?,” soalnya menerusi InstaStory.

Kenyataan tersebut adalah sebagai balasan kepada satu mesej dihantar seorang individu yang memintanya menasihati Pekin agar tidak campur hal perceraian Fattah dan Nur Fazura.

Individu tersebut juga menganggap Pekin lebih menyebelahi Fattah memandangkan mereka pernah bekerjasama di set penggambaran sebelum ini.

Tidak langsung berniat mencurah minyak ke api, pelakon filem Manao Karaoke itu menegaskan setiap individu berhak untuk bersuara.

“Tak payah nak mesej, komen bersungguh-sungguh sebab kami tak kisah masalah mereka. Biarlah mereka selesaikan.

“Saya bukan penasihat suami. Biarlah dia nak tulis apa,” luahnya.

Terdahulu Pekin dalam satu perkongsian menganggap tuduhan Fattah berlaku curang sehingga berlaku perceraian adalah sesuatu yang berat.

Malah, dia juga memberitahu pelakon berkenaan tidak pernah bercakap tentang wanita lain sebaliknya sentiasa meluahkan rasa merindukan terhadap isteri dan anak.

Luahan tersebut dibuat pelakon filem Mat Moto selepas Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada Isnin lalu. — HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok