MEMILIKI pesona tersendiri dalam arena nyanyian, perjalanan karier Aisha Retno menyerlah sejak menyertai rancangan realiti Big Stage musim keempat pada 2022.
Namanya semakin menyinar sebaik sahaja membolot trofi naib juara pada Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) awal tahun lalu sehingga meraih jumlah pengaruh lebih banyak berbanding sebelum ini.
Rata-rata memuji kesungguhan dan kehebatan wanita yang dikatakan memiliki pakej lengkap bergelar penyanyi hebat, kekuatan, kreatif dalam persembahan dan handal pula menulis lagu.
Meskipun sudah bergelar naib juara AJL, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam enggan berada di zon selesa.
Tidak lama kemudian dia melancarkan lagu raya yang mendunia ke negara seberang selain menyertai rancangan realiti The Hardest Singing Show.
Malah, penyanyi berusia 24 tahun itu turut melancarkan lagi sebuah single terbaharu berjudul Samudera yang mahu menarik lebih ramai peminat dari Pantai Timur.
Saya rasa dari segi demografi masih ramai lagi orang Pantai Timur tidak mengenali saya.
“Lagi pun, susah untuk buat persembahan di sana.
Jadi, melalui lagu ini perlahan-lahan saya cuba mempengaruhi mereka untuk satukan budaya Kelantan dan EDM walaupun tahu sukar untuk diterima tetapi setakat ini dapat sambutan baik,” katanya kepada HibGlam.
Bercerita lanjut mengenai Samudera yang ditulis bersama Glowrush, Shanekennedy dan Karazey, Aisha berkata, single berkenaan diinspirasikan daripada kisah Cik Siti Wan Kembang, seorang pemerintah legenda di Kelantan satu ketika dahulu.
“Lagu ini mengenai Cik Siti Wan Kembang dan juga kisah saya dalam industri muzik ini.
Seperti mana kita tahu Cik Siti Wan Kembang tidak berkahwin dan hanya fokus kepada kerajaannya. Kisah ini inspirasi baik kepada wanita di luar sana.
“Jangan hanya fikir cinta sahaja tetapi fokus kepada kerja terlebih dahulu, barulah cinta datang kemudian,” ujarnya.
Biarpun memiliki darah Pantai Timur, wanita asal Kuala Lumpur itu mengakui tidak fasih menggunakan dialek Kelantan dan menghabiskan masa berbulan-bulan mempelajari dialek tersebut bersama bapanya, Sayed Sipulijam Sayed Alwee.
Sejujurnya saya tidak fasih bertutur dialek Kelantan dan ambil masa dua bulan belajar dengan ayah. Kami pula jarang berkomunikasi dalam dialek Kelantan.
“Agak ‘struggle’ (sukar) sebenarnya nak belajar dialek Kelantan sama seperti saya ‘struggle’ belajar bahasa Jawa.
Namun, selepas didalami, dialek Kelantan lebih unik dan boleh digunakan untuk seni,” jelasnya.
Dalam masa sama, anak kepada penyanyi Indonesia, Jean Retno Aryani itu hanya menggunakan beberapa perkataan Kelantan dalam lirik lagunya.
“Memang sengaja tidak menyanyi penuh dalam dialek Kelantan sebab saya bukan sahaja tujukan kepada orang Pantai Timur.
Peminat saya juga ada dari negara jiran, Indonesia dan saya mahu orang tertanya-tanya apa itu ‘dondey cik wei’ yang ada dalam lagu tersebut,” jelas pelantun lagu Sutera itu.
Bergerak sendiri
Ditebak pula mengenai kos pembikinan single terbaharunya, Aisha enggan mendedahkan secara tepat tetapi mengakui menelan belanja paling tinggi memandangkan kini dia bergerak bawah syarikat sendiri, Aisha Retno Entertainment.
Dari segi kewangan, ini lagu paling mahal kerana pembikinan video muzik turut menggunakan kos tinggi, termasuk produksi selain saya kini sudah bergerak sendiri.
“Dari segi penciptaan lagu pula, saya tidak boleh nak zahirkan bagaimana nilainya. Cuma apa yang boleh saya katakan, ini karya yang ‘mahal’ kerana hanya dihasilkan lagu ini dalam tempoh seminggu,” katanya.
Berkongsi lanjut tentang keputusan bergerak sendiri, anak sulung daripada dua beradik itu kembara muzik berjalan lebih lebih bebas selepas hampir sedekad bergelumang dalam industri.
“Saya sudah bergerak sendiri atas sebab-sebab tertentu.
Tindakan ini membuka peluang untuk muzik saya dan mencuba sehabis baik.
“Dahulu saya ingin mengembara dan perlukan tunjuk ajar tetapi kini saya masih memerlukan cuma tidak terlalu terperinci,” katanya.
Konsert solo sulung
Berkongsi keterujaan, Aisha turut memaklumkan mengenai Konsert Malam Sutera Live In Concert yang bakal berlangsung pada 16 November kelak.
Katanya, penjualan tiket sedang berjalan dan setakat ini separuh tempat duduk sudah terjual.
“Setakat ini semua berjalan lancar walaupun ada ketika saya masih risau.
Saya lebih takut dengan kesihatan sebab untuk acara pelancaran pun saya hilang suara selama dua hari. Namun, alhamdulillah sudah kembali baik.
“Apa pun, saya anggap peluang mengadakan konsert sebagai satu kurniaan rezeki yang sangat besar.
“Sehingga sudah melebihi 50 peratus tiket sudah terjual,” tutupnya. -HIBGLAM