BAKAL menyambut ahli keluarga baharu, penyanyi Dafi mendoakan rumah tangga kakaknya yang juga bekas isteri pereka fesyen Datuk Jovian Mandagie iaitu Nina Ismail Sabri berkekalan dan bahagia.
Kata Dafi atau nama lengkapnya Gadaffi Ismail Sabri, 36, dia tidak menyangka kenalan kakaknya dikenali sebagai Hafiz Osman itu bakal menjadi abang ipar tidak lama lagi.
“Kami semua (keluarga) memang sudah lama mengenai Hafiz kerana dia dan Nina sudah lama berkawan.
“Saya sendiri pun mengenali Hafiz sebagai kenalan kepada Nina. Tidak sangka pula dia akan menjadi abang ipar,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dafi yang ditemui dalam Pelancaran Single Baharu Alvin di Sunway Damansara di sini semalam bagaimanapun tidak memperincikan mengenai majlis perkahwinan Nina atau nama lengkapnya, Nina Sabrina Ismail Sabri.
“Saya tidak boleh bercakap banyak. Apa pun saya berasa sangat gembira kerana dia sudah menemui kebahagiaan baru. Saya mendoakan semoga dia bahagia.
“Soal majlis saya tidak tahu hendak kongsikan apa kerana saya tidak terlibat dalam persiapan. Tetapi apa yang saya tahu persiapan untuk majlis itu ada cuma bagi saya, saya bukanlah orang yang tepat untuk kongsikan.
“Segala soal persiapan itu biarlah tuan punya badan yang akan kongsikan nanti, insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini Nina yang juga anak bekas Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkahwin dengan Jovian pada 11 Disember 2013 dan bercerai pada Ogos 2022.
Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie, 6. – HIBGLAM