Kembali lagi, Maliq & D’Essentials janji penonton puas

MELEDAK menerusi lagu Aduh dan Kita Bikin Romantis, kumpulan muzik popular Indonesia, Maliq & D’Essentials sekali lagi bakal mengubat kerinduan peminatnya di Kuala Lumpur menerusi konsert Can Machines Fall in Love? Album Tour pada 29 Disember depan.

Konsert yang akan berlangsung di Megastar Arena, KL itu merupakan salah satu siri jelajah band tersebut sempena album terbaharu mereka, Can Machines Fall In Love? (CMFIL?) yang dilancarkan Mei lalu.

Dianggotai Angga Puradiredja selaku vokalis, Indah Wisnuwardhana (vokal), Widi Puradiredja (drum), Jawa (bass), Lale (gitar) dan Ilman Ibrahim (keyboard), acara tersebut bakal menjadi konsert sulung berskala besar di Malaysia sejak ditubuhkan dua dekad lalu.

Menurut Widi, mereka teruja untuk mengadakan konsert di beberapa daerah di Indonesia seperti Bandung, Bali, Surabaya dan juga di Malaysia.

“Ini adalah siri jelajah pertama kami setelah lebih dari 20 tahun berkarya sejak ditubuhkan.

Peminat di Malaysia bakal berhibur dengan nyanyian dan persembahan sekitar 2 jam menerusi lebih 20 buah lagu.

“Kami letak Malaysia dalam senarai kerana permintaan peminat negara ini sangat banyak dan kami sangat hargai sokongan yang sudah diberikan sejak dua dekad lalu,” katanya.

MALIQ & D’Essentials juga akan mendendangkan lagu-lagu popular daripada album terdahulu pada konsert mereka hujung tahun nanti.

Kali terakhir mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas, KL sekitar tahun 2022, Widi turut menjanjikan peminat akan membawa pulang momen berbekas di ingatan pada malam tersebut.

Demi memberi kepuasan kepada semua, kami akan hasilkan gubahan muzik istimewa dan dilengkapi dengan kemasan audio visual serta penataan cahaya yang menarik.

“Yang pasti, konsepnya berlainan daripada apa yang pernah kami tampilkan sebelum ini,” tuturnya.

Mengenai pemilihan lagu, Wifi mengakui mereka sangat sukar untuk membuat senarai pendek lagu terbaik untuk dinyanyikan pada malam tersebut tetapi pastinya fokus utama adalah karya dalam album CMFIL?.

“Seiring dengan objektif konsert, kami akan sampaikan lagu-lagu yang terkandung dalam album CMFIL?.

Jangan risau, kami tetap akan mendendangkan lagu-lagu dari album-album terdahulu.

“Jadi, kepada peminat yang hadir, pastikan anda hafal semua lagu-lagu dalam album CMFIL?, pasti akan menggamatkan lagi konsert tersebut,” ujarnya.

Antara lagu dalam CMFIL? yang akan didendangkan ialah Begini Begitu, Hari Terakhir Terus Terang dan Dadidu di Dada.

Sementara itu, menurut penganjurnya iaitu Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeff, pemilihan Maliq & D’ Essentials merupakan pilihan tepat kerana mempunyai kelompok peminat besar di Malaysia.

Ramai yang meminta kami membawa mereka ke Malaysia dan akhirnya impian itu bakal tercapai apabila Kharisma Music mendapat hak eksklusif untuk konsert jelajah ini.

“Pastinya kami akan berikan sesuatu yang berbeza dan kepuasan berganda kepada semua pembeli tiket,” jelasnya.

Dalam masa sama, Kharisma Music juga akan memastikan setiap penonton melalui malam yang romantis dengan alunan lagu-lagu hebat pada acara tersebut.

Semoga setiap pembeli tiket dapat merasai sendiri malam penuh romantis dengan alunan lagu-lagu mereka yang membuai perasaan serta mengembalikan nostalgia masa lalu,” ujarnya lagi.

Tiket-tiket ke konsert Can Machines Fall in Love? Album Tour sudah mula dijual pada 3 September lalu dan boleh didapat menerusi laman web: www.ticket2u.com/maliq&d’essentials.

Harga tiket pula terbahagi dalam lima kategori iaitu Begini (RM288), Begitu (RM188), Kita Bikin Romantis (RM338), Aduh (RM258) dan bagi sesi Meet & Greet pula (RM298). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok