PELAKON Riena Diana memilih untuk tidak mendesak dan memberi tekanan kepada kekasihnya yang juga pelakon Keith Foo untuk mendalami agama Islam.
Menurut Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 28, Keith sudah terdedah dengan ajaran Islam sejak kecil malah beberapa ahli keluarganya sudah memeluk Islam.
“Kami jarang bercakap tentang perkara ini. Namun, kami berdua sedar tentang hubungan yang berbeza agama. Sebelum hubungan menjadi lebih serius, itu yang kami bincangkan dahulu.
Sepanjang tempoh perkenalan, saya melihat Keith sudah biasa berkawan dengan orang Melayu. Jadi, setakat perkara-perkara asas, dia memang sudah tahu dan tiada masalah sangat.
“Dia mempunyai keinginan untuk belajar sendiri dan sebab itu saya tidak terlalu mendesak. Kakak dan abangnya juga adalah mualaf. Jadi, bukan sesuatu yang asing pun,” katanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar pra kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36, baru-baru ini.
Selain enggan memaksa, dia juga yakin hidayah dan petunjuk daripada Tuhan akan hadir bila-bila masa dengan pelbagai cara.
“Perkara seperti ini tidak boleh dibuat-buat sebab akan datang sendiri.
Hidayah itu datang daripada Allah. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Keith,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Riena mengakui teruja melihat kesungguhan Keith mendalami ilmu agama dengan usahanya sendiri.
“Kadang-kadang dia beritahu ada mendengar khutbah dan akan kongsi isi ceritanya. Pada mulanya saya pelik kenapa dengar khutbah setiap hari. Khutbah selalunya pada hari Jumaat.
Rupa-rupanya bagi dia, setiap ceramah itu adalah khutbah. Saya melihat situasi itu sangat comel. Dia ada inisiatif mendalami agama.
“Pada hari Maulidur Rasul lalu dia bertanya kebiasaan orang Islam buat apa? Kemudian dia sendiri yang memutuskan untuk bersedekah di masjid,” ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan berumah tangga, dia dan Keith kini mahu fokus terhadap kerjaya seni masing-masing terlebih dahulu.
“Setiap orang pasti nak berumah tangga. Bukan saya tidak merancang tapi hubungan kami masih baharu.
“Kami mahu fokus kerjaya dahulu. Terbaharu, saya diberi peluang mengacarakan ABP36.
“Keith nak saya terbang tinggi. Ada banyak lagi perkara baharu yang kami ingin ceburi,” tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Riena bakal menggalas tanggungjawab mengemudi ABP36 bersama dua orang lagi rakan pengacara iaitu Didie Alias dan Hanif Hamzah.
Pada Jun lalu Riena mendedahkan hubungan cintanya dengan Keith Foo terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama Salju Rindu untuk siaran TV3.
Mengakui mempunyai banyak persamaan, status duda anak satu bukan penghalang kerana baginya paling penting Keith bukan suami orang.
Keith pula pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – HIBGLAM