Hamil 4 bulan, Atikah Suhaime enggan mewahkan anak

DIHUJANI ucapan tahniah bakal bergelar ibu, pelakon Datin Atikah Suhaime mengakui merancang untuk mengumumkan perkara itu secara rasmi pada bulan depan.

Kata Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 33, dia memilih untuk mengunci mulut mengenai  kehamilannya yang kini sudah mencecah empat bulan kerana bimbang dikecam.

“Bagi saya waktu itu terlalu awal untuk membuat pendedahan dan pelbagai perkara boleh berlaku. Saya juga bimbang jika kongsikan berita terlalu awal, nanti netizen akan mengecam atau mendoakan yang tidak baik.

Sejujurnya saya agak trauma apabila ada yang mendoakan perkara tidak baik ketika melangsungkan perkahwinan dahulu dengan mengatakan hubungan kami tidak bertahan lama.

“Tetapi saya sangat berterima kasih dan bersyukur kerana pengikut dalam media sosial semuanya mendoakan yang baik-baik buat saya dan tiada komen benci saya terima,” katanya ketika dihubungi HibGlam hari ini.

Berikutan berat badannya naik mendadak selepas hamil, Atikah akhirnya memilih untuk berkongsi khabar gembira itu dalam media sosial.

“Kalau tidak kongsikan gambar, nanti media sosial saya akan kosong. Jadi saya fikir kongsikan sahaja foto terbaharu yang kini sedang hamil dan berat badan juga naik.

Bentuk badan masih kecil, tetapi bahagian perut makin membesar, begitu juga bahagian wajah. Sejak hamil ada banyak baju yang tidak muat dan saya kena beli baharu.

“Jadi alang-alang begitu, saya kongsikan sahaja gambar terkini,” katanya.

Ditanya tentang persiapan menyambut kelahiran bayi sulungnya itu, pelakon filem My Stupid Boss itu memberitahu, dia tidak merancang membeli barangan di luar negara atau berhabis puluhan ribu.

Bagi Atikah, dia lebih fokus kepada keperluan asas bayi termasuk dirinya selepas selamat bersalin nanti.

“Buat masa ini saya dan suami belum membuat sebarang persiapan bayi. Saya juga mengharapkan agar khalayak boleh kongsikan tip tentang penjagaan dan keperluan bayi termasuk ibu nanti selepas bersalin kerana saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Bagi saya, tidak perlu untuk berbelanja besar atau beli terlalu banyak barang kerana bayi cepat membesar. Suami saya mungkin akan mewahkan anak tetapi bagi saya persiapan itu tidak perlu terlalu berlebihan.

“Paling penting ialah keperluan asas bayi dan saya nanti untuk menjaganya. Untuk saya, mendapatkan pengasuh yang boleh membantu saya menjaga bayi nanti lebih penting kerana saya tidak mahu membebankan orang tua dan keluarga mentua,” katanya.

Dalam pada itu Atikah turut menzahirkan rasa syukur apabila alahan yang dialaminya sebelum ini kian berkurang.

“Sebelum ini saya mengalami alahan yang teruk seperti muntah-muntah dan sakit kepala. Saya rasa cepat penat dan nafas tercunga-cungap.

Kini alhamdulillah semua itu sudah semakin berkurangan, cuma saya masih tidak tahan dengan bau bawang,” katanya.

Sebelum ini, pelakon asal Singapura itu mengakui tidak boleh menjamah makanan yang mengandungi bawang kerana boleh mengakibatkan rasa mual.

Dia juga hanya boleh makan hidangan Itali yang diberi nama ortabello mushroom focaccia sandwish.

Atikah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh pada 21 Januari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok