Baik Punya Ah-Long cetusan idea Din Beramboi

JIKA anda peminat karya tempatan, pastinya akan ingat bahawa Malaysia pernah menelusuri zaman lambakan filem bertemakan muzikal seperti Magika dan Hoore Hoore. 

Kini, pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki membawa semula penonton generasi muda merasai momen sama menerusi buah tangan terbaharunya, Baik Punya Ah-Long.

Lari daripada kebiasaan filem Melayu masa kini, Afdlin berani mengetengahkan elemen muzikal yang sudah jarang digunakan pengarah lain.

Menurut Afdlin, jumlah lagu yang dihasilkan khas bagi naskhah tersebut adalah sekitar 18 buah lagu dan selain menuntut komitmen para pelakon menari untuk setiap rakaman.

“Semua lagu dihasilkan memang untuk filem ini dan dihasilkan seiring dengan pembikinan skrip.

“Selain perlu berlakon, para pelakon perlu hafal lirik dan berlatih menyanyi. 

“Sekurang-kurangnya elemen muzikal ini mengubat rindu mereka yang sukakan filem sebegini,” katanya.

Berkongsi mengenai idea asal Baik Punya Ah-Long, Afdlin berkata, idea membikin filem itu pada asalnya tercetus ketika Allahyarham Din Beramboi masih hidup.

Ujarnya, pemilihan Johan dan Zizan Razak adalah perkara tepat kerana kedua-duanya sudah memberi hasil yang sangat memuaskan.

“Pada asalnya saya merancang untuk bergandingan dengan arwah Din Beramboi untuk watak utama, sayangnya impian itu tidak kesampaian.

“Kalau nak teruskan niat itu, rasa-rasanya tidak sesuai lagi untuk lakukannya atas sebab faktor umur dan lain-lain.

“Selepas meneliti, saya rasa tiada gandingan paling bagus untuk menjayakan watak ini melainkan duo popular, Johan dan Zizan. Saya perhatikan mereka sejak awal sehingga menjadi superstar,” ujarnya.

Afdlin menambah, dia juga mendapat inspirasi menyelitkan elemen muzikal dalam Baik Punya Ah-Long selepas menonton karya-karya hebat Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Saya selalu layan filem P. Ramlee sepanjang tempoh Covid-19 seperti Pendekar Bujang Lapok yang banyak elemen nyanyian. 

“Jadi, saya mula terfikir alangkah seronoknya kalau dapat menghasilkan sebuah filem sebegitu lagi.

“Pada awalnya filem ini hanyalah bergenre komedi biasa, tetapi saya selitkan elemen muzikal. Kalau dilihat semula, Johan dan Zizan memang bagus dengan lawak muzikal mereka sebelum ini,” katanya lagi

Ditanya tentang proses penggambaran, dia berkata, semuanya dilakukan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 iaitu sekitar pertengahan tahun 2020.

“Banyak cabaran perlu lalui sepanjang tempoh penggambaran terutama dengan jangkitan Covid-19 yang memang membimbangkan ketika itu.

“Meskipun begitu, semua pelakon sudah berikan yang terbaik, harap semua suka dengan hasilnya,” ujarnya.

Sementara itu, Zizan yang memegang watak sebagai Aloysius mengharapkan agar gandingannya bersama Johan dapat diterima baik penonton.

Dalam masa sama, dia berkata, tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian dengan Johan memandangkan mereka sudah lama kenal antara satu sama lain. 

“Selepas keluar video trailer tempoh hari, memang ramai yang komen tak sabar nak pergi menonton.

“Kemudian saya memang rasakan naskhah ini mampu memberi hiburan maksimum kepada penonton. 

“Saya juga sedar ramai yang mahu melihat gandingan bersama Johan lagi dan ini adalah hasilnya, harap dapat mengubat rindu mereka,” tuturnya.

Baik Punya Ah-Long mengisahkan tentang dua adik beradik, Aloy lakonan Zizan dan Aley (Johan) yang menjalankan perniagaan sendiri selepas dipaksa berdikari oleh bapa angkat mereka.

Baik Punya Ah-Long mengisahkan tentang dua adik-beradik, Aloy lakonan Zizan dan Aley (Johan) yang menjalankan perniagaan sendiri selepas dipaksa berdikari oleh bapa angkat mereka.

Menyahut cabaran bapa mereka, Aloy dan Aley memulakan perniagaan pinjaman wang. 

Perniagaan yang mendapat sambutan hangat orang ramai tersebut seterusnya mencetuskan pelbagai konflik termasuk ‘plot twist’ yang bakal mengejutkan penonton.

Selain Johan dan Zizan, naskhah tersebut turut dibintangi sendiri Afdlin termasuk barisan pelakon hebat seperti Liyana Jasmay, Chew Kin Wah, Adlin Aman Ramli dan Allahyarham Adibah Noor.

Baik Punya Ah-Long sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 12 September lalu dan berjaya meraih kutipan lebih RM1 juta dalam tempoh tiga hari tayangan.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok