SELAMA 10 tahun dikenali dengan nama pentas Syamim Farid, pelakon dan pengacara itu kini mahu dikenali sebagai Syamim Freida sebagai penjenamaan semula dirinya untuk imej lebih segar.
Kata Syamim atau Toh Puan Syamim Mohd. Farid, 33, panggilan komersial itu adalah gabungan namanya bersama ibu bapa yang diharap menjadi pengukuh terhadap perjalanan karier seninya termasuk ke negara seberang.
“Nama pentas yang baharu ini menggantikan Farid dengan Freida yang juga gabungan nama emak dan ayah saya bertujuan untuk tampil dengan aura lebih segar.
“Bagi saya selepas lebih sedekad dalam industri seni, penampilan baharu ini menandakan saya mahu terus aktif dan menggandakan usaha sama ada dalam lakonan mahupun pengacaraan.
“Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya ubah kerana ramai dah kenal Syamim Farid, tidak mengapa, lama-kelamaan orang akan biasa,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program bual Tiga Is3, baru-baru ini.
Menurut isteri kepada kerabat diraja Selangor, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Al-Haj, restu suami turut mendorongnya mengembangkan kerjaya ke Indonesia dengan menerima tawaran membintangi sebuah filem.
Akui Syamim, awalnya dia mengikuti kelas lakonan dan mempelajari bahasa Indonesia di Jakarta yang membuka jalan kepadanya beraksi bersama produksi lokal.
“Pada awal tahun ini saya mengambil kelas lakonan dan bahasa di Indonesia. Dari situ ada pengarah menawarkan saya menjalani uji bakat, alhamdulillah saya ‘sangkut’ tetapi perlu berulang-alik ke sana.
“Suami memang bagi galakkan, tiada sebarang syarat pun. Memang dah rezeki saya dapat melangkah ke Indonesia yang membuatkan saya yakin masanya sangat tepat.
“Ikut jadual penggambaran bermula pertengahan bulan depan yang mengambil masa sekitar tiga bulan untuk disempurnakan, tapi saya akan kerap pulang kerana terikat dengan rakaman Tiga Is3,” katanya.
Mengenai program yang dikendalikan bersama dua teman karibnya, Uyaina Arshad dan Adriana Adnan, Syamim teruja berkongsi pandangan mengenai isu rumah tangga dengan khalayak.
Katanya, setakat ini tiga episod sudah disempurnakan bahkan mereka menanti input daripada orang ramai bagi menyuntik kesegaran dalam setiap topik diketengahkan.
“Kami bertiga berstatus isteri dan pastinya semua orang ada cabaran dan kisah tersendiri dalam mendepani cabaran, jadi kami gunakan Tiga Is3 ini sebagai medium untuk berkongsi cerita agar dapat dijadikan panduan suri lain.
“Menariknya kami juga diberikan cabaran seperti perlu membeli barang dengan sejumlah wang di sebuah pasar basah dan yang gagal akan didenda seperti perlu mencuci motosikal- sesuatu yang jarang dilakukan golongan wanita. Banyak lagi cabaran lain,” ujarnya.
Diterbitkan FYP Media, Tiga Is3 disiarkan pada 22 September bersempena Wife Appreciation Day dan sebagai permulaan, tiga episod akan ditayangkan setiap hari Ahad, pukul 5 petang menerusi YouTube FYP Media. – HIBGLAM