MESKI masih hijau dalam arena seni tanah air, tuah kian menyebelahi pelakon cantik Ezanie Jasny apabila namanya meniti di bibir peminat impak lakonan dan fenomena drama Layang Layang Perkahwinan.
Hadir dengan pakej paras rupa dan lakonan bersahaja, mudah sahaja bagi pemilik nama lengkap Nur Ezzanie Sherazade Jasny itu mengumpul pengaruh dalam tempoh singkat.
Satu demi satu drama lakonannya meraih pujian seiring terseret gosip cinta, si jelita itu bagaimanapun enggan namanya dikenali hanya kerana kontroversi murahan.
Memperbaiki segala kelemahan, sekali gus meletakkan perhatian penuh terhadap karier, pelakon berusia 25 tahun itu terus memasang strategi meneguhkan karier dalam jangka masa panjang selain mengetepikan dahulu perihal cinta.
Menegaskan diri belum dimiliki sesiapa, Ezzanie mengakui sedang gigih mengukuhkan jenama seninya lebih ke hadapan demi sebaris pelakon wanita hebat lain.
“Sejujurnya fokus utama saya sekarang adalah karier, lagi pula saya memang tidak berpunya, tiada masa untuk semua itu.
“Kerja sahajalah dahulu, banyak lagi impian untuk dicapai dalam industri seni, lebih baik saya berusaha untuk berjaya sebelum serabut dengan cinta.
“Bukannya trauma atau serik, tetapi buat masa ini, biarlah perhatian saya tertumpu kepada kerja-kerja seni dan perbaiki mutu lakonan agar mudah berkesan di hati penonton dan jadi antara pelakon berkualiti,” katanya kepada Pose.
Nama semakin disebut-sebut, wanita tinggi lampai itu menzahirkan rasa syukur selain mengakui lebih bersemangat meneroka lebih banyak karakter demi mencabar diri semaksimum mungkin.
“Selepas drama Layang-Layang Perkahwinan, ramai yang sudah buka mata dan lihat bakat saya, impak naskhah itu memang banyak mengubah karier saya.
“Dengan penerimaan ini, saya fikir saya mahu mengeksplorasi lebih banyak lagi watak dan genre drama selain melihat sejauh mana lagi saya boleh pergi dalam industri seni tanah air.
“Peluang tidak datang selalu, ketika orang sudah kenal ini, saya mahu tunjukkan segala bakat yang saya ada,” tuturnya serius.
Rezeki terus mencurah-curah, si cantik itu terus disambar menerajui drama Uncle Boss Mama menggalas peranan sebagai Farafisha atau Fish di sisi hero, Meerqeen.
Berkongsi lanjut tentang naskhah dan watak tersebut, Ezzanie mengakui karakter Fish berbeza dengan watak sebelum ini yang mencabar versatiliti lakonannya.
“Watak kali ini lebih berbeza sangat kerana sebelum ini saya banyak bawa karakter serius dan tegas. Boleh dikatakan agak mencabar tetapi saya bersyukur kerana dapat mencuba sesuatu yang lain.
“Dalam drama ini, saya kena jadi seorang wanita yang sangat kalut, serabut dan jenis bersepah.
“Fish suka pakai baju dengan warna yang tidak kena dan sepadan contohnya baju oren, tiba-tiba seluar kuning dan kasut hijau,” ujarnya.
Selain Ezzanie dan Meerqeen, drama 24 episod tersebut turut menampilkan pelakon Yusuf Bahrin, Riz Amin, Wan Nur Azlin dan Eliva Chua. – HIBGLAM