BARU-BARU ini, pelakon Seol In-ah mendedahkan dirinya mengalami gangguan tidur atau insomnia sejak lima tahun lalu.
Insomnia yang merupakan kesukaran tidur atau menghadapi masalah untuk melelapkan mata biasanya dikaitkan dengan kesihatan mental.
Keadaan itu juga boleh dicetuskan oleh gaya hidup, keadaan tidur kurang baik, menjaga anak, hal berkaitan kerja dan tekanan.
Hakikatnya, tidur yang cukup dan berkualiti sangat penting bagi semua orang jika mahu kekal sihat.
Daebak kali ini menyenaraikan beberapa selebriti K-pop yang berhadapan masalah tidur selain Seol In-ah.
- Park Bom
DALAM temu bual dengan Billboard pada 2019, penyanyi Park Bom mengaku mengalami masalah pola tidur.
Dia mengakui agensinya yang baharu iaitu D-Nation Entertainment menjaganya dengan baik.
Bukan sahaja menyediakan lagu yang bagus, agensi tersebut sentiasa memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.
Disebabkan tidurnya tidak teratur, pengurusan agensi bergilir-gilir menjaganya selama 24 jam.
Seiring masa berlalu, bekas vokalis kumpulan 2NE1 itu memakklumkan keadaannya semakin baik dengan bantuan agensinya.
- Mina
MENERUSI sebuah wawancara pada 2017, penyanyi Mina mengakui dia mengalami lumpuh pada muka di sebelah kiri.
Pemilik nama sebenar Mina Sharon Myoi itu telah bertemu beberapa doktor dan dimaklumkan masalah berkenaan berpunca daripada tekanan atau insomnia.
Menurut doktor yang merawatnya, sesetengah individu menunjukkan reaksi tekanan melalui kesan negatif pada tubuh badan walaupun minda tidak menyedarinya.
Selepas insiden terbabit, wanita berusia 27 tahun itu percaya lakonan membuatkan dia berasa lebih bahagia dan baik.
- Gyuri
PADA 2020, penyanyi kumpulan Kara iaitu Gyuri mencetuskan kebimbangan orang ramai dengan perkongsiannya.
Menerusi aplikasi X, dia memuat naik hantaran: “Adakah saya terjaga sepanjang malam lagi?”
Peminat tidak henti-henti memberikan kata-kata positif dalam hantaran yang dimuat naik sekitar pukul 5.30 pagi.
Bagaimanapun, Gyuri memadam hantaran tersebut 15 minit kemudian.
- YooA
SELEPAS memulakan kerjaya dalam program Idol Operation Team pada 2017, penyanyi YooA mendedahkan kesedihan yang menghantui diri.
Dia mengakui melalui tempoh latihan paling singkat berbanding semua ahli kumpulannya dan mengalami kesukaran melakukan kemunculan sulung.
Penyanyi berusia 29 tahun itu turut tertekan setiap kali masuk studio rakaman dan akhirnya dia mengalami insomnia.
Difahamkan, dia menangis setiap hari dan berasa tertekan tetapi enggan memaklumkan orang tuanya kerana bimbang mereka risau.
- Chungha
MENERUSI program reality Ask Us Anything Fortune Teller pada 2021, penyanyi Chungha mengaku mengalami insomnia.
Chungha atau nama sebenarnya Kim Chung-ha menghidap insomnia akibat tekanan dan kebimbangan terhadap kesihatannya.
Wanita berusia 28 tahun itu hanya boleh tidur dua jam sahaja setiap malam dan perkara itu menyebabkan dia sedih kerana mengalami keletihan melampau.