DIJERKAH seolah-olah melakukan kesalahan besar, pendakwah selebriti PU Riz meluahkan rasa terkilan dimarahi seorang ahli jawatankuasa sebuah masjid ketika berehat sementara menunggu masuk waktu maghrib.
PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 29, berkata, dia terkejut sebaik individu tersebut menjerit kepadanya yang hanya berbaring buat seketika atau iktikaf.
“Pak cik-pak cik yang bertanggungjawab selia masjid, jangan jerit saat orang iktikaf di masjid.
Bukan tidur semalaman pun, hanya berehat sekejap menunggu maghrib. Terkejut, kena jerit baring dalam masjid. Sedih juga lah.
“Saja berkongsi, sebagai seorang yang bukan selalu berkesempatan berjemaah waktu maghrib kerana kekangan masa dan sebagainya, hari itu saya saja tunggu,” katanya dalam Instagram.
Menurut suami kepada usahawan selebriti Noor Neelofa itu, tindakan kasar sebegitu adalah kurang sopan.
Dia mari (datang) dengan suara yang amat deras dan kuat. ‘Tak boleh tidur dalam masjid, orang marah!’
“Siapa nak marah? Nanti kalau kata balik dia rasa kita biadab. Buat apa buat masjid, tapi tak bagi orang duduk sekejap,” ujarnya.
Pada hantaran sama Haris turut berkongsi tentang iktikaf yang dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
“Ada manfaat sebenarnya bila tunggu waktu solat.
Sabda Nabi Muhammad SAW, ‘menunggu waktu solat itu adalah dituntut dalam agama dan juga iktikaf,” katanya.
Sebelum ini kerap tular kisah mengenai segelintir pengurusan masjid yang menyalahgunakan kuasa dengan menetapkan peraturan seolah-olah rumah Allah itu kepunyaan mereka.
Biarpun bukan semua berkelakuan sedemikian termasuk menunjukkan rasa kurang senang dengan kehadiran kanak-kanak berjemaah, sedikit sebanyak tindakan sebegitu mengikis keinginan generasi muda ke masjid. – HIBGLAM