ENAM belas tahun berahsia, pelawak Saiful Apek mendedahkan pelakon Maya Karin pernah lemas ketika menjalani penggambaran filem Duyung.
Sejak insiden hitam tersebut, Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 55, berkata, Maya menggelarnya hero kerana berjaya menyelamatkan wanita itu daripada lemas.
Banyak kejadian yang saya tidak pernah dedahkan. Maya pernah tersangkut bawah jaring di tengah laut ketika penggambaran Duyung dahulu.
“Saya selamatkan dia dengan sepenuh hati dan memang agak bergelut dengan masa disebabkan keadaannya yang mengalami sesak nafas.
Apabila dapat selamatkan, sampai sekarang Maya cakap saya bukan hero dalam filem sahaja tetapi hero dia,” katanya kepada HibGlam semasa sidang akhbar Duyung: Legenda Aurora di Wetland Studios Putrajaya, semalam.
Berkongsi lanjut kejadian itu, Apek berkata dia menyedari Maya berada dalam keadaan bahaya ketika berenang di kawasan tidak jauh daripada lokasi penggambaran.
“Masa itu waktu maghrib, babak dia terperangkap dalam jaring. Adegan itu pula memang kena habiskan hari kejadian sebab Maya perlu pulang keesokan harinya.
Kebetulan saya tiada babak tetapi mahu habiskan oksigen dalam tangki yang tinggal sedikit dan bermain-main di sekitar pulau.
“Apabila saya ternampak keadaan dia seperti bukan sedang berlakon sebab sudah berbuih dan kelemasan, saya pun segera menghampirinya.
Saya cuba tarik rambut dia sebab klip di rambut palsunya terlalu banyak dan tersangkut pada jaring. Apabila boleh lepas saya tolak dia ke atas tetapi ada botol di dasar laut menghalang dia untuk ambil udara,” ujarnya.
Meskipun insiden itu ibarat mimpi ngeri, Apek berasa hairan Maya tidak serik dan masih lagi sudi menjayakan watak duyung.
“Orang dekat atas memang tengah tunggu Maya apabila tidak naik-naik. Ada pasukan keselamatan yang tunggu di bawah tetapi memandangkan ‘shot’ luas jadi mereka perlu duduk jauh dan tak nampak apa terjadi.
Apabila sudah bawa naik ke atas, Maya jerit kuat sangat dan semua kru panik. Saya boleh anggarkan dalam lima minit juga dia berdepan situasi cemas itu.
“Kejadian itu memang buat kami trauma tetapi saya terkejut dia masih terima watak ini (duyung). Kalau saya, dah fobia. Boleh dikatakan insiden itu mimpi ngeri buat kami semua,” jelasnya.
Filem komedi romantik fantasi Duyung arahan Datuk Prof Ts. Dr A. Razak Mohaideen ditayangkan pada 6 Mac 2008.
Naskhah itu pernah memenangi Anugerah Khas Box Office di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21) pada tahun sama.
Tahun ini, KRU Studios Sdn. Bhd. mengumumkan sekuel Duyung: Legenda Aurora yang dijangka menemui penonton pada suku ketiga 2025. – HIBGLAM