“ALHAMDULILLAH, saya sangat bertuah sebab lagu itu milik saya, lebih-lebih lagi lirik dan melodi macam sentiasa melekat di kepala.”
Demikian perkongsian ratu rock negara, Ella mengenai lagu ikonik Standing In The Eyes Of The World yang masih dimainkan setiap kali sambutan hari kemerdekaan meski dilancarkan lebih sedekad lalu.
Menurut Ella atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin, kekuatan dendangan hasil ciptaan Datuk Wah Idris dan Habsah Hassan terletak pada seni kata serta melodi yang terus malar segar sehingga kini.
“Keistimewaan lagu ini terletak pada bait lirik dan melodi yang cukup indah.
Lagu ini bukan hanya dicipta untuk sukan Komanwel 1998 bahkan untuk menyatukan semua kaum di Malaysia. Malah lagu ini juga menunjukkan identiti Malaysia.
“Lirik dan melodi pun memang sesuai dengan pelbagai situasi seperti kemerdekaan, kesukanan termasuk untuk menaikkan semangat,” katanya kepada HibGlam semasa Usanita Fest yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, kelmarin.
Ditanya sebab utama bersetuju merakamkan lagu tersebut, pelantun lagu Permata Biru itu tertarik dengan garapan keseluruhan karya yang indah.
“Apabila tengok lirik dan melodi saya terus jatuh cinta. Bait nukilan istimewa itu mampu menyuntik kita semangat setiap masa.
Lagu ini bagus untuk saya serta semua peringkat usia tak kisah anak-anak, saudara-mara dan rakan-rakan.
“Kita boleh berkongsi rasa gembira dengan menyerap lirik dan aura positif dalam lagu,” ujarnya.
Standing In The Eyes Of The World adalah mengenai pengorbanan, kerja keras, keghairahan, harapan dan impian.
Lagu itu juga disifatkan sebagai karya agung yang menyuntik semangat masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Standing In The Eyes Of The World dipilih sebagai lagu tema Sukan Komanwel 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah yang berlangsung antara 11 hingga 21 September tahun itu. – HIBGLAM