Setelah dua tahun berhijrah ke Amerika Syarikat, pelakon Sarah Hildebrand mengejutkan peminat dengan berkongsi beberapa foto berhijab bersama seorang lelaki ‘mat salih’ seolah-olah baru melangsungkan pernikahan.
Hanya meletakkan kapsyen emoji, Sarah atau Nur Sarah Hildebrand Asyraf Hildebrand, 34, memberi bayangan mendirikan rumah tangga sambil menayang cincin warna hitam di jari manisnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata rakan selebriti mengucapkan tahniah dan mendoakan kedua-dua pasangan mempelai.
“Alhamdulillah, tahniah sayang sudah nikah. Moga berbahagia dan mendapat zuriat yang comel,” kata pelakon, Serina Redzuawan.
“Tahniah Sarah,” ujar ringkas aktor, Hafreez Adam.
“Lovely (sungguh cantik). Tahniah,” tutur dramatis, Betty Benafe.
Lebih menguatkan spekulasi pelakon Muluk Dan Konco: Hero Malaya itu sudah berkahwin apabila dia membalas komen tersebut dengan ucapan terima kasih.
Pada Oktober 2020, Sarah mencetuskan kontroversi apabila mengambil keputusan tidak lagi bertudung selepas hampir setahun berkahwin dengan jejaka berdarah kacukan Filipina-Amerika, Otto Gilen.
Dua tahun kemudian, dia tidak lagi memuat naik gambar bersama suaminya dalam media sosial selain mengambil pendekatan berdiam diri daripada menjawab persoalan tentang status perkahwinannya.
Kali terakhir lakonan Sarah ditayangkan adalah menerusi drama Seindah Tujuh Warna Pelangi yang bersiaran pada 2020 di saluran TV3.
Pada Julai 2022, dia secara rasmi menyertai unit Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dan memaklumkan keputusannya itu mendapat sokongan kedua ibu bapanya. – HIBGLAM