PENTAS konsert After Race Fest yang bakal berlangsung di Helipad Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) pada 3 November depan bertambah hangat dengan kehadiran penyanyi rap Amerika Syarikat, Macklemore.
Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment selaku penganjur, Sean Pereira berkata, gabungan artis antarabangsa dan tempatan dijangka memberikan kepuasan berganda buat penonton perlumbaan MotoGPTM.
Sudah menjadi tradisi MotoGPTM ditutup dengan fiesta yang menampilkan ramai penghibur hebat yang membuktikan After Race Fest bukan sekadar hiburan biasa.
“Bersama matlamat meraikan pengunjung dari seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan dron dan bunga api, konsert ini menjanjikan kepuasan.
Lebih istimewa edisi kali ini kami bawakan barisan penghibur daripada pelbagai genre termasuk penyanyi rap Maclemore,” katanya pada pengumuman acara itu, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif turut teruja dengan penganjuran konsert itu yang juga bertepatan ulang tahun ke-25 pembukaan lokasi ikonik perlumbaan tersebut.
Kami sangat teruja sudah 25 tahun sejak membuka pintu pada 1999. Kami rakamkan setinggi penghargaan kepada HIFIVE Entertainment kerana berganding bahu dengan kami jadikan sambutan ini lebih meriah.
“Kami mengalu-alukan semua untuk sertai saksikan perlumbaan MotoGPTM dan menikmati konsert sebelum pulang rumah. Kami tawarkan harga eksklusif untuk pembelian awal bermula hari ini hingga 31 Ogos nanti,” ujarnya.
Pentas dirancakkan lagi dengan kehadiran band rock AS popular era 1990-an, Smash Mouth selain Feel Koplo, De Fam, Nidji dan 6ixth Sense bagi pengumuman fasa pertama.
Akuinya lagi, selepas ini menyusul pengumuman kedua dengan beberapa lagi artis lain sebagai pelengkap konsert tersebut.
Penganjur mensasarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 penonton memeriahkan konsert terbabit dengan keutamaan ditawarkan kepada pembeli tiket perlumbaan MotoGPTM. – HIBGLAM