“NO komen.”
Demikian reaksi isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Athira Yuhada Ab Ghafar mengenai dakwaan mengatakan dia kini berbadan dua.
Athira bagaimanapun berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya dan suami.
Pasal anak saya tidak mahu komen. Doakan yang baik-baik sahaja,” katanya ketika ditemui dalam majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2024 di Pusat Pemeran Kesenian Petaling Jaya (PJPAC) di sini,hari ini.
Atihira yang mendapat Sijil Kemahiran Malaysia kategori Nyanyian memaklumkan sudah terlibat dalam nyanyian sejak berusia 10 tahun.
Malah, sebelum ini dia juga pernah menyertai pasukan Koir Kebangsaan dan kini bergelar tenaga pengajar di Permata Seni Koir (program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara) sejak lima tahun lalu.
“Tujuan saya mendapatkan sijil ini kerana ingin meningkatkan pengetahuan dan membantu pengajaran saya nanti.
Saya mengajar dalam subjek Teori Muzik kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 17 tahun. Saya mengajar tentang cara membaca nota dan bagaimana ingin menyanyi berdasarkan nota,” katanya.
Ditanya sama ada ingin menceburi bidang nyanyian secara serius, Athira berkata, dia tidak berminat untuk bergelar penyanyi kerana lebih selesa menjadi tenaga pengajar.
Tidak. Saya tidak berminat untuk jadi penyanyi. Saya anggap ini hanya hobi sahaja.
“Hafidz juga tidak mendesak saya untuk jadi penyanyi atau apa. Dia hanya menyokong minat saya,” katanya.
Dalam majlis sama penyanyi Roslan Mabun dan Noraniza Idris turut menjadi penerima Sijil Kemahiran Malaysia kategori Nyanyian.
Sementara itu, aktres veteran Datuk Fauziah Nawi menerima Sijil Kemahiran Malaysia kategori Seni Lakon Teater.
Hafidz atau nama penuhnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 30, turut hadir ke majlis tersebut bagi meraikan kejayaan isteri tercinta.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 16 Disember tahun lalu. – HIBGLAM