KALAU sudah namanya selebriti, tentu sahaja memiliki ramai pengikut yang setia memberikan sokongan sejak awal kemunculan sehingga ke hari ini.
Justeru, ada ramai bintang terkenal memilih untuk menghargai peminat dengan mengekalkan sikap ramah dan mudah didekati. Ini kerana mereka sedar tanpa sokongan peminat, tidak mungkin berada di tahap sekarang.
Pun begitu, tidak dinafikan masih ada bintang yang meletakkan batas antara dirinya dengan peminat. Bukan sombong tetapi atas dasar ingin menjaga privasi dan keselamatan diri.
Susulan itu, Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang suka menyantuni peminat mereka.
Bagi mereka, peminat adalah tulang belakang kejayaan yang dikecapi selama ini dan selayaknya dihargai.
Tidak hanya itu, ada juga antaranya sudah mengangap peminat sebagai kawan dan keluarga.
Taehyung
Khalayak sedia maklum anggota kumpulan BTS, Taehyung menjadi pujaan peminat seluruh dunia.
Begitupun, idola berusia 28 tahun itu tidak pernah meninggi diri sebaliknya selesa mengekalkan sikap ramah dengan peminat baik dalam media sosial mahupun ketika berdepan.
Taehyung juga dilihat sentiasa menghargai hadiah pemberian peminat terutama baju dengan memakainya ketika bersiaran langsung atau sewaktu menjalani latihan persembahan.
Pelantun lagu Winter Bear itu juga aktif berinteraksi dengan peminat dan selalu bertanyakan pendapat tentang hala tuju dan karya bagaimana lagi yang harus dihasilkan.
IU
Penyanyi dan pelakon IU juga ada senarai Kimchi Panas minggu ini. Wanita jelita itu terkenal dengan sikap ramah dan suka berkongsi kisah hidupnya dengan peminat.
Idola berusia 31 tahun itu juga dilimpahi pujian kerana sentiasa bersikap rendah diri dan selesa berjabat salam terlebih dahulu dengan peminat sambil melemparkan senyuman paling manis.
Bukan itu sahaja, pelantun lagu Love Wins All itu juga tidak putus-putus menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya setiap kali menerima anugerah mahupun dalam mana-mana rancangan temu bual.
Dia juga tidak mudah melatah sebaliknya memberi respons kepada pembenci dengan cara penuh kasih sayang dan sentiasa berlembut.
Kim Woo-bin
Siapa yang tidak kenal dengan aktor popular Kim Woo-bin. Dia bukan sahaja sentiasa dipuji kerana kualiti lakonannya tetapi turut disayangi kerana sikapnya yang membumi dan sentiasa menghargai peminat.
Meskipun sentiasa membawa watak sombong dan menjengkelkan dalam kebanyakan drama dibintanginya, itu tidak langsung membayangi sikap sebenarnya yang kaya dengan rasa empati dan rajin membantu orang lain.
Bukan itu sahaja, menurut sebuah laporan, pelakon berusia 35 tahun itu juga tidak lokek memberi hadiah kepada pemuja bakatnya bahkan pernah menghadiri majlis pengebumian peminat setianya.
Maka tidak hairan ketika dia mengumumkan perlu berehat seketika kerana menghidap kanser, agensinya dibanjiri ucapan doa dan pelbagai hadiah berupa ubat-ubatan termasuk akar kayu.
Kim So-hyun
Sedar diri popular kerana peminat, aktres Kim So-hyun menyifatkan pemuja bakatnya sebagai kawan baik.
Demi menghargai peminat, gadis berusia 25 tahun itu tidak keberatan untuk ikuti semula peminat setianya dalam akaun Instagram.
Maka tidak hairan jumlah akaun yang diikutinya sudah mencecah lebih 6,000 pengguna. Jumlah tersebut sangat besar apabila dibandingkan dengan artis Korea lain yang hanya mengikuti pihak agensi dan rakan seindustri.
Kata So-hyun, dia merasa tidak selesa andai tidak ‘follow back’ penggemarnya kerana sedar kariernya memuncak kerana sokongan peminat.