KHALAYAK maklum bahawa Korea Selatan dikenali sebagai negara dengan piawaian kecantikan yang tinggi apatah lagi buat yang bergelar selebriti.
Kulit putih gebu, hidung mancung dan tubuh ramping merupakan antara ciri ideal yang diimpikan bukan sahaja kaum wanita bahkan golongan lelaki di negara tersebut.
Pun begitu, terdapat beberapa artis Korea yang tidak menghiraukan piawaian kecantikan tersebut. Pada mereka, siapa kata untuk berjaya harus seputih salju? Berhasil mengubah citra tersebut mereka membuktikan mampu berdiri sama tinggi dengan selebriti lain bahkan dipuji ramai kerana kualiti bakat, penampilan memukau dan berkarismatik.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti K-pop yang tetap ‘mendunia’ meskipun berkulit sedikit gelap daripada piawaian putih ikut kaca mata peminat.
Hyolyn
Siapa tidak mengenali anggota kumpulan SISTAR, Hyolyn yang cukup sinonim dengan gaya feminin dan berani.
Wanita berusia 33 tahun itu merupakan salah seorang idola yang memiliki rona kulit gelap sejak zaman debutnya lagi dan tidak pernah sekalipun melakukan rawatan untuk kelihatan lebih putih.
Enggan mempedulikan pandangan buruk netizen, penyanyi jelita itu sangat terbuka dan sentiasa menghargai warna kulit dan rupa parasnya meskipun sering dikatakan tidak menepati piawaian kecantikan sebagai idola.
Dengan keberanian dan keterbukaan itu, Hyolyn menjadi inspirasi buat orang ramai dan artis lain malah membuktikan bahawa bakat dan usaha melebihi segala-galanya.
Hwasa
Berani dan kuat, barangkali itu perumpamaan tepat buat anggota kumpulan Mamamoo, Hwasa yang sama sekali tidak kisah dengan piawaian kecantikan masyarakat Korea.
Hwasa memiliki wajah oriental dan kulit yang sedikit gelap daripada kebanyakan idola lain yang membuatkan dirinya lebih menyerlah dan unik.
Kekal lincah dan bertenaga ketika membuat persembahan, idola berusia 29 tahun itu antara penyanyi yang berani bergaya dengan pelbagai penampilan meskipun berkulit gelap.
Kendatipun terkadang gaya pakaiannya mengundang kritikan dan dianggap tidak kena dengan tona kulit, wanita tinggi lampai itu hanya memekakkan telinga dan memilih untuk mencintai diri seadanya.
RM
Siapa sangka ketua kumpulan BTS, RM sebenarnya memiliki rona kulit yang lebih gelap berbanding anggota lain.
Fotonya sering disunting untuk kelihatan lebih cerah dan nampak sekata dengan ahli BTS yang lain demi mengikut piawaian kecantikan sehingga membangkitkan kemarahan kelab peminatnya iaitu Army.
Deretan peminatnya mengecam tindakan pihak yang mengedit wajah idola kesayangan mereka itu kerana menganggap RM lebih tampan dengan warna kulit aslinya.
Kata Army, bakat dan reputasi lelaki berusia 29 tahun itu sebagai idol tidak berkurang hanya kerana warna kulitnya.
RM juga selalu menitipkan pesanan kepada peminatnya untuk mencintai dan menghargai diri tidak kira apa pun warna kulit mereka.
Kai
Turut tersenarai anggota kumpulan EXO, Kai yang terkenal dengan raut wajah eksotik.
Meskipun idola berusia 30 tahun itu memiliki kulit lebih gelap berbanding orang Asia Timur, peminat berpendapat tona kulitnya itu yang menjadikannya unik daripada ahli kumpulan lain.
Pada awalnya, jejaka tinggi lampai itu mengakui insecure dengan warna kulitnya apatah lagi sering dijadikan bahan jenaka rakan-rakan seperjuangan di awal kemuculannya.
Bukan itu sahaja, terdapat segelintir masyarakat Korea yang menganggap selebriti berkulit gelap seperti Kai tidak menarik dan kelihatan tidak bersih.
Tidak berputus asa dan terus membuktikan kredibilitinya, Kai berjaya menempa nama dan diterima ramai bahkan sudah beberapa kali diangkat sebagai duta dan model pelbagai jenama terkenal di Korea Selatan.