PENYANYI popular era 70-an yang juga bekas vokalis kumpulan Carefree, Jay Jay menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thompson, Kota Damansara hari ini.
Menurut perkongsian penyanyi Datuk Hattan, Allahyarham telah meninggal dunia sekitar pukul 9.30 malam tadi.
Jenazah Allahyarham difahamkan sedang diuruskan oleh pihak keluarga di hospital.
Sebelum ini Jay Jay atau Mohd. Fauzi Darus, 67, pernah menjalani pintasan jantung akibat saluran tersumbat di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu.
Penyanyi lagu Joget Angan Tak Sudah itu tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki kanannya seperti biasa selepas menjalani prosedur tersebut.
Difahamkan, doktor mendapati ada sesuatu mengganggu saraf otak yang menyebabkan penyanyi itu mengalami angin ahmar buat sementara. – HIBGLAM