Mendunia, Masdo tawan festival muzik antarabangsa

KUGIRAN Masdo bukan lagi jenama muzik yang perlu diperkenalkan.

Meskipun pernah dipersoalkan kerana menghidangkan jalur muzik era 1960-an sehingga ada yang menidakkan kemampuan, Masdo tetap melangkah untuk menghapuskan stereotaip semata-mata mahu meneruskan perjuangan sebagai anak seni.

Siapa sangka bermula daripada pejuang muzik old school, kini kumpulan dianggotai Ali Sariah selaku vokalis, Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris) mampu membolosi pasaran muzik dan menjadi kegilaan peminat di Seberang.

Lebih mengujakan, tahun ini Masdo mengorak langkah lebih cemerlang apabila diundang beraksi di luar negara, termasuk Mongolia dan Korea Selatan.

Kami baru pulang dari Ulaanbaatar, Mongolia dan Busan, Korea. Di sana, kami menjayakan festival muzik pada 5 Julai dan 7 Julai lalu.

“Di Korea kami mewakili Malaysia bermain dalam Round Festival dan di Mongolia pula kami bermain Playtime Festival yang mempunyai 13 pentas keseluruhannya,” kata Ali atau nama lengkapnya Aliff Fahmi Bahtiar membuka bicara.

MASDO bakal beraksi bersama Spider dan Ella di Spice Arena Penang, Pulau Pinang pada 30 Ogos ini.

Berkongsi lanjut, vokalis berusia 32 tahun itu bersyukur, sajian muzik berbahasa Melayu mereka menerima respons positif apabila rata-rata pengunjung puas.

“Alhamdulillah sambutan festival di Mongolia memang luar biasa. Kami memang kali pertama ke sana, tempatnya sangat menarik sebab kami beraksi di kawasan ladang yang mempunyai pemandangan pergunungan dan sebagainya.

Bukan setakat pemandangan cantik tapi crowd (pengunjung) yang datang pun terbaik walaupun kami menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu, ini tidak menjadi penghalang buat mereka untuk berseronok.

“Mana-mana negara kami pergi buat persembahan, kami menyanyikan lagu bahasa kita dan sama seperti di sana mereka seronok menghayati muzik kami,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai bagaimana mereka menerima tawaran untuk membuat persembahan di luar negara, Ali memaklumkan mereka dipinang selepas menjayakan Asian Music Festival di Singapura pada tahun lalu.

Ramai promoter dan ejen dari seluruh negara yang datang ke acara itu, jadi mungkin malam itu menangkap mata mereka dan merasakan kami ada potensi untuk dibawa keluar.

“Ketika itu pengunjung di Singapura agak wild (liar) juga jadi mereka berasakan kami boleh dibawa ke luar negara. Alhamdulillah rezeki kami dapat bermain di Mongolia.

Selepas ini, insya-Allah kami akan ke luar negara juga seperti Thailand, Vietnam dan beberapa negara lagi.

“Kami ke sana pun untuk intai hubungan baik, sebab mengikut data Spotify, pendengar kami bukan sahaja di Malaysia bahkan di Thailand dan beberapa negara yang belum pernah kami jejaki,” kongsinya .

MASDO ketika beraksi di festival muzik di Mongolia pertengahan Julai lalu. 

Seorang lagi anggota, Putu Ceri pula berkongsi pengalaman luar biasa semasa berada di Mongolia walaupun pada awalnya disangka sebagai mangsa penipuan.

Seronok bermain dalam festival di luar negara sebab di sana lebih besar, memang lain.

“Jujurnya lokasi di Mongolia itu sangat luar biasa di mana kawasan itu dikelilingi gunung-ganang.

Pada awal kami sudah bersangka buruk, kami naik kereta ke tempat konsert lebih kurang dua jam dari bandar. Kami nampak ada orang naik kuda beramai-ramai.

“Kami ingat akan kena ambush (serang hendap) atau scam (penipuan) tapi bila sampai sahaja di lokasi ditujui, kami teruja sebab mereka boleh buat festival di kawasan sebegitu,” ujar jejaka berusia 37 tahun itu.

Dalam masa sama, dia juga kagum dengan kemudahan yang disediakan sepanjang festival tersebut walaupun berada di luar bandar.

“Fasiliti pun bagus sebab mereka juga ada pacak menara telekomunikasi dan juga ada bank, kecuali tandas yang kami fikir dua atau tiga kali nak masuk.

Itu perkara biasalah bila kita pergi festival. Memang agak ekstrem di sana tapi ini sebuah pengalaman yang mengujakan buat kami.

“Semoga kami dapat lebih rezeki ke negara lain pula,” ujarnya yang tidak sabar beraksi dalam konsert Mahardika pada 30 Ogos depan di Spice Arena Penang, Pulau Pinang. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok