4 si cantik K-pop tak minat jejaka tampan

ENGGANG sama enggang, pipit sama pipit, barangkali itu pegangan segelintir pihak dalam memilih pasangan hidup baik dalam soal latar belakang mahupun paras rupa.

Namun berbeza dengan beberapa selebriti wanita Korea Selatan yang percaya penampilan, rupa bukanlah segala-galanya malah yakin keperibadian baik jauh lebih penting. 

Barangkali disebabkan ramai selebriti wanita mempunyai pakej lengkap seperti berbakat, jelita dan tubuh badan sempurna, ramai beranggapan penampilan adalah elemen penting buat mereka ketika memilih pasangan.

Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan beberapa artis K-pop yang mengakui rupa bukanlah kriteria utama 

Suzy

Percaya kebanyakan lelaki berwajah tampan sukar untuk setia kepada pasangan membuatkan penyanyi Suzy tidak berminat menjalin hubungan dengan ‘spesies’ sedemikian.

Rupa bukan segala-galanya, idola berusia 29 tahun itu mengakui lebih suka lelaki jujur, santai dan suka memperbaiki diri baik baik dalam aspek kehidupan mahupun kewangan.

Pun begitu, penyanyi dan pelakon tinggi lampai itu menegaskan dia tidak menutup pintu hati sepenuhnya terhadap lelaki kacak cuma lebih selesa mendekati jejaka yang mempunyai personaliti menarik dan bukannya bermodalkan paras rupa semata-mata.

“Rupa boleh dibaiki tetapi personaliti susah untuk diubah kerana sudah sebati sejak mereka (lelaki) dilahirkan lagi, silap langkah boleh hancur masa depan,” kata Suzy. 

IU

Penyanyi IU tidak ketinggalan dalam senarai Kimchi Panas minggu ini. 

Sejak awal debut, idola berusia 31 tahun itu mengakui tidak tertarik kepada lelaki kacak sebaliknya menyukai orang yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja mereka.

Tambah pelantun lagu Love Wins All itu lagi, dia mengimpikan teman hidup yang menjaga kesihatan termasuk gaya hidup dan pemakanan seharian.

Menurutnya, tiada guna jika lelaki mempunyai raut wajah tampan tetapi badan tidak sihat. 

“Setiap orang mempunyai lelaki idaman masing-masing, saya lebih suka memandang personaliti dan gaya hidup seseorang itu berbanding apa yang ditawarkan hanya semata-mata raut wajah,” katanya menerusi satu rancangan temu bual baru-baru ini. 

IU kini menjalin hubungan cinta dengan pelakon terkenal Lee Jong-Suk yang mendapat restu ramai peminat. 

Lee Joo-bin

Siapa tidak kenal pelakon Lee Joo-bin yang popular selepas membintang siri Netflix berjudul Money Heist Korea.

Saat nama menjadi sebutan, ramai peminat tertanya-tanya kriteria jejaka idamannya memandangkan sudah lama Lee Joo-bin tidak menjalin hubungan cinta.

Enggan khalayak terus berteka-teki, si cantik berusia 34 tahun itu memberitahu dia lebih mementingkan personaliti berbanding penampilan luaran.

Lee Joo-bin juga secara khusus menyebut bakal teman lelakinya mestilah seorang yang mesra, empati dan boleh berkomunikasi dengan baik.

Irene

BERKALI-KALI gagal dalam percintaan, anggota kumpulan Red Velvet, Irene tidak lagi memandang paras rupa sebaliknya lebih memberi penekanan terhadap keperibadian dan personaliti. 

Memandangkan dirinya pendiam, idola berusia 33 tahun itu mengakui cenderung memilih lelaki peramah demi mengelakkan hidupnya terasa sunyi. 

Kata wanita tinggi lampai itu lagi, dia juga tidak suka lelaki kacak dan berlagak ‘cool’ sebaliknya lebih selesa dengan pasangan yang baik hati serta mempunyai falsafah dalam hidup.

 “Kacak, tinggi bukanlah penentu kebahagiaan. Bagi saya, cinta sejati datang daripada keselesaan yang kita temui dalam perhubungan,” ujarnya menerusi satu rancangan temu bual. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok