“SAYA tiada hak untuk halang siapa jodoh ibu Saya.”
Demikian respons pelakon baharu, Fitri Farok yang juga merupakan anak kepada usahawan online, Lydia Rosli sewaktu ditanya tentang soal jodoh orang tuanya.
Menurut Fitri atau nama lengkapnya Muhammad Fitri Mohd Farok, 25, apa yang penting baginya adalah kebahagian ibu.
“Sebagai anak, soal jodoh ibu saya serahkan pada tuhan. Saya sentiasa doakan sesiapa sahaja yang ditakdirkan menjadi jodoh ibu adalah seorang yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW), malam tadi.
Naib juara program Pencarian Hero Remaja 2023 itu juga mengakui tahu tentang berita ibunya yang meluahkan perasaan cinta dan ingin berkahwin dengan penyampai radio Tyzo baru-baru ini.
Ditanya adakah dia bersedia seandainya Tyzo ditakdirkan menjadi bapa tirinya, kata cucu kepada aktres senior Normah Damanhuri itu, dia reda andai demikian takdirnya.
“Seperti yang saya katakan, kalau tuhan dah tentukan itu adalah jodoh ibu saya, saya okey sahaja kalau itu yang terbaik.
“Walau siapa pun bakal jodoh ibu saya nanti, saya harap dia dapat menjadi suami yang terbaik, menghormati dan menyayangi ibu saya,” jelasnya.
Biarpun ibunya rapat dengan Tyzo, kata Fitri dia kurang mengenali lelaki tersebut kerana jarang berjumpa.
“Saya tak berapa kenal sangat dengan Tyzo kerana kami jumpa pun sekejap-sekejap sahaja.
“Ibu ada bercerita pada saya yang dia berkawan dengan Tyzo. Tetapi tentang soal nak kahwin dia tak pernah beritahu saya apa-apa.
“Tetapi andai berkahwin membuatkan hidup ibu saya lebih bahagia dan aman, saya okey sahaja,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fitri kini sedang sibuk dengan persiapan penggambaran drama terbarunya yang berjudul Anak Anak Mafia.
Sebagai seorang peragawan, dia turut sibuk dengan tugasan ‘catwalk’ di pentas KLFW yang berlangsung dari 29 Julai sehingga 4 Ogos ini di perkarangan Menara Berkembar Petronas KLCC.
Terdahulu HibGlam melaporkan Lydia Rosli atau nama lengkapnya Nor Lydia Rosli, 48, meluahkan rasa cinta dan keinginan untuk berkahwin dengan Tyzo atau Tuah Zoqarnain Idris, 48,. Namun keinginannya tidak disahut oleh penyampai radio itu. – HIBGLAM
View this post on Instagram