BAGI merealisasikan impian bergelar ibu, penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan tidak menolak untuk melakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) untuk memiliki zuriat.
Elizabeth atau nama lengkapnya Elizabeth Tan Su Mei, 30, berkata, perkara tersebut turut dipersetujui suaminya, Siew Jim namun dalam masa sama tetap berusaha secara semula jadi.
Saya dan suami ada terfikir untuk melalukan IVF tetapi kami ingin melakukannya secara semula jadi berdasarkan rawatan dan nasihat buat masa ini.
“Mungkin kami akan memberi masa sekitar setahun kerana pada Februari lalu saya keguguran.
Setidak-tidaknya saya tahu yang saya mampu hamil, jadi kami pilih melalui cara biasa ini dahulu,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Semua Sudah yang mesra membahasakan diri Lizzy itu, dia juga sedang menjalani proses rawatan dan pengambilan ubat untuk kestabilan hormon.
Saya fikir untuk mendapatkan anak itu mudah, tetapi ternyata sukar untuk saya. Sewaktu mengalami keguguran pada Februari lalu, usia kandungan masih baru iaitu sekitar tujuh minggu.
“Beberapa bulan selepas itu, mengalami gangguan hormon dan perlu mengambil ubat serta rawatan bagi membantu untuk hamil lagi.
Saya juga selalu melakukan senaman kardio setiap minggu agar badan lebih sihat dan mengamalkan pemakanan sihat,” katanya lagi.
Pada masa sama pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu turut mengharapkan agar dia memperoleh anak kembar, sepasang lelaki dan perempuan.
Kalau boleh saya berharap agar dapat anak kembar. Tentu seronok, tetapi keluarga sebelah saya dan suami tidak mempunyai sejarah kelahiran kembar.
“Andai kata tidak dapat anak kembar, kalau boleh anak sulung saya mahu perempuan,” jelasnya.
Pada April lalu hasrat Lizzy untuk menimang cahaya mata pertama masih belum kesampaian apabila mendedahkan mengalami keguguran sekitar Februari.
Sekadar info, Lizzy mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021. – HIBGLAM