Ungku Ismail elak kongsi foto anak, bimbang penyakit ‘ain

Tiada niat menyorokkan anak, pasangan pelakon Ungku Ismail dan isteri, Nad Zainal mengakui kurang berkongsi wajah si kecil dalam laman sosial bagi mengelakkan penyakit ‘ain atau hasad dengki.

Ujar Ungku Ismail atau nama lengkapnya Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz, 38, mereka akan tetap mendedahkan wajah bayi yang diberikan nama Ungku Indra Puteh Al Maajid apabila tiba masanya.

Usia anak kami bakal menginjak ke sembilan bulan tidak lama lagi, masih terlalu kecil tapi ada juga kami kongsi gambarnya dalam Instagram Story.

“Cuma tak kerap. Kami ikuti kelas agama, ada belajar mengenai penyakit ‘ain dan hasad. Kadang kala teringin berkongsi gambarnya dalam Instagram, tapi terbantut setiap kali nak muat naik.

“Insya-Allah, mungkin kami akan kongsi suatu hari nanti, tunggu Ungku Indra Puteh besar sikit,” katanya kepada HibGlam.

Menurut pelakon drama Dendam Aurora itu, mereka tidak menolak andai peminat merakamkan gambar Ungku Indra dan berkongsi foto bayi yang dilahirkan pada 10 Oktober itu.

Jika ke mana-mana atau sepanjang berniaga dan menyertai karnival hingga ke Singapura dan Brunei, kami memang tidak berenggang dengan anak.

“Jadi pengunjung ada kalanya dapat berjumpa Ungku Indra Puteh, ambil gambar dan kongsi momen itu dalam Instagram mereka, kami tiada masalah pun.

“Cuma, kami akan maklumkan pada mereka kami takkan ‘repost’ hantaran itu di Instagram peribadi kami,” katanya ketika ditemui ketika ditemui di Bazar Hujung Minggu kelolaan Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, baru-baru ini.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Januari tahun lalu itu kini menguruskan bisnes tudung di bawah jenama Nadi Kesuma.

Biarpun turut rancak membangunkan pelbagai aplikasi dan permainan video termasuk aplikasi Power Congak yang membantu kanak-kanak menguasai kemahiran mengira, aktor terbabit mengakui masih mahu terus berlakon.

Saya baru sahaja selesai penggambaran drama rantaian dan Nad pula sudah menyelesaikan kerjanya untuk drama berjudul Sagon Tumbuk.

“Ikutkan kami masih terima tawaran berlakon, tetapi kena pastikan jadual penggambaran tidak bertembung agar salah seorang ada di rumah bersama anak-anak.

“Saya pun tak halang isteri terus berlakon kerana saya kenal dia menerusi bidang lakonan. Asalkan aurat terjaga, saya tiada kekangan, ” katanya.

Ungku Ismail mendirikan rumah tangga dengan Nad pada 23 Januari 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata, manakala menerusi perkahwinan terdahulu, aktres terbabit mempunyai dua anak iaitu Ibrahim, 7, dan Budi Kalsom, 2. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok